Percutian Murah, Pilih Tempatan: Idea untuk Luangkan Hujung Minggu Anda

 

Rakyat Malaysia memang gemar waktu hujung minggu yang panjang. Bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman, inilah peluang untuk mereka balik kampung dan meluangkan sedikit masa bersama keluarga. Bagi yang lain pula, inilah masa terbaik untuk mengambil cuti lebih lama dan melakukan sesuatu yang berbeza daripada rutin hujung minggu yang biasa.

Sebelum penularan wabak COVID-19 berlaku, ramai rakyat Malaysia menggunakan waktu hujung minggu panjang menaiki kapal terbang dan berkunjung ke destinasi berdekatan seperti Singapura, Bangkok, Bali atau Hanoi. Tetapi, oleh sebab sempadan negara kita ditutup untuk perjalanan biasa, kita hanya boleh bergerak dalam lingkungan kawasan negara ini sahaja. Ini merupakan peluang terbaik untuk kita meneroka tempat-tempat menarik di dalam negara pula. Sempadan ditutup bermakna tiada pelancong asing serta bas persiaran besar yang juga menghalang anda daripada mengambil gambar pemandangan indah di sana.

Walau bagaimanapun, penularan wabak ini juga mengakibatkan kemerosotan perniagaan dalam industri pelancongan. Oleh itu, melancong di dalam negara adalah cara terbaik membantu perniagaan pelancongan untuk terus beroperasi ketika keadaan tidak menentu ini.

Selain itu, terdapat satu insentif menarik yang ditawarkan kepada individu yang melancong di dalam negara - kerajaan Malaysia telah memperkenalkan Pengecualian Cukai Pendapatan Peribadi untuk perbelanjaan melancong sehingga RM 1,000 kepada semua pembayar cukai Malaysia bagi tahun 2020 dan 2021. Pengecualian yang diberikan termasuklah perbelanjaan penginapan hotel, tiket penerbangan, tiket kereta api, dan tiket kemasukan ke lokasi-lokasi tarikan pelancong di seluruh Malaysia.

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Kami mempunyai beberapa idea untuk anda memulakan pengembaraan anda.

Teroka pekan lama yang baru
Anda mahu mengelak kesesakan di Ipoh, Melaka, Cameron Highlands dan Georgetown? Apa kata anda meneroka pekan lama atau lokasi yang biasanya tidak dikunjungi oleh pelancong pula? Pekan kecil yang tersembunyi ialah pilihan percutian bajet terbaik kerana kos penginapan dan makanan di sana juga agak murah. Terdapat beberapa rumah tumpangan comel dan hotel kecil yang tersedia untuk anda menginap dengan selesa selama beberapa malam di sana.

 

Teluk Intan merupakan sebuah pekan kecil yang menarik dan mempunyai lokasi tarikan pelancong yang anda pernah dengar sebelum ini tetapi tidak pernah terfikir untuk berkunjung sebelum ini; Menara Condong Teluk Intan.

Taman Tasik Taiping yang luas merupakan kawasan hijau subur untuk anda terokai, untuk anda beriadah, berkelah dan menghirup udara segar.

Istana Bandar adalah sebuah bangunan berwarna putih yang tersergam indah di Kuala Langat. Oleh sebab istana ini sudah lama tidak berpenghuni, keheningan di sana menaikkan rasa adrenalin anda sedikit.

Tepuk Dada, Tanya Selera!
Daripada berfikir tentang tempat-tempat yang anda ingin kunjungi, apa kata anda menentukan destinasi pelancongan anda yang seterusnya mengikut citarasa perut anda pula? Rancanglah percutian pendek berdasarkan makanan kegemaran anda atau restoran-restoran jauh yang sudah lama anda ingin kunjungi merupakan alasan terbaik untuk melancong pada waktu hujung minggu panjang.

Daripada cendol di Bandar Melaka, hinggalah masakan masak lemak daging salai pedas di Rembau, ataupun patin masak tempoyak di Temerloh, Malaysia sememangnya sebuah syurga makanan. Anda boleh menemui makanan yang lazat di mana-mana sahaja, termasuklah kawasan seperti di tengah-tengah bendang padi, ladang, hutan mahupun di seberang sungai sekalipun, sepanjang hari.

Sama ada anda memilih untuk membuat perancangan yang menyeluruh atau ‘main rempuh’ sahaja, perjalanan mencari makanan boleh memberikan anda pengalaman kulinari yang cukup memuaskan.

Dekatkan diri dengan alam semula jadi
Dari hutan ke pantai, Malaysia mempunyai pelbagai lokasi untuk dikunjungi semasa cuti hujung minggu panjang jika anda ingin menyelubungi diri anda dengan bunyi-bunyian hujan tropika atau deruan ombak memecah pantai. Sama ada anda tinggal di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur ataupun di Sabah dan Sarawak, alam semula jadi dekat sahaja dengan anda.

Glamping ialah aktiviti berkhemah mewah dan tapak-tapak glamping ini sering kali dikelilingi kawasan hutan hijau, sungai jernih dan persekitaran alam semula jadi lain. Di kawasan Semenanjung, tapak glamping terletak di kawasan hutan di Kuala Kubu Bharu, Raub dan Janda Baik adalah sangat popular sekarang. Di Sabah Sarawak pula, aktiviti glamping tepi pantai di Kota Belud, glamping di bawah kelipan bintang di Pulau Libaran, ataupun terus ke Kundasang untuk pemandangan gunung-ganang yang menakjubkan. Jangan lupa untuk membawa ubat serangga yang mesra alam sekali!

Jika anda suka melakukan aktiviti lasak, berkhemahlah di tepi pantai! Bayangkan anda dikejutkan bunyi deruan ombak memecah pantai tanpa perlu membayar kos penginapan di resort mewah. Kebanyakan tapak perkhemahan dilengkapi kemudahan tandas dan bilik air. Ada kalanya, kemudahan-kemudahan ini disediakan secara percuma! Anda boleh berkhemah di pulau-pulau seperti Tenggol, Tioman atau Pangkor.

Bersemangat untuk mengembara? Ikuti aktiviti pendakian atau meneroka kawasan air terjun. Anda boleh memilih untuk mendaki Gunung Kinabalu. Tetapi, diingatkan bahawa anda disarankan untuk membuat tempahan awal dan latihan terlebih dahulu. Ataupun, anda boleh mengikuti pendakian jangka pendek di Tanjung Tuan, Negeri Sembilan. Inginkan pergi lebih jauh, anda boleh ke utara melawat Air Terjun Ulu Chepor di Perak. Mendekatkan diri dengan alam semula jadi pastinya akan menyegarkan diri anda semula!

Bercuti dalam Bandar
Bandar-bandar seperti Kuala Lumpur agak lenggang walaupun selepas PKPP dikuat kuasakan dan kebanyakan hotel menurunkan harga bilik mereka untuk menarik lebih ramai tetamu tempatan. Jika anda mahu memanjakan diri dan berehat di hotel, inilah masa terbaik untuk membuat perancangan.

Terokai Kuala Lumpur sebagai pelancong! Cari mural-mural tersembunyi di Chinatown, menjamu selera di kedai-kedai makan lama yang telah diubah suai menjadi restoran moden, kunjungi Dataran Merdeka yang bersejarah dan berswafoto berlatar belakangkan beberapa seni bina lama yang masih dipelihara di Kuala Lumpur.

Daripada hotel butik kecil yang bergaya ke penginapan bandar yang lebih mewah, kebanyakan tempat menawarkan sarapan percuma, baucar makanan, daftar keluar lewat dan pelbagai lagi promosi pada harga yang lebih murah untuk menarik perhatian anda.

Tidak mahu keluar? Tinggal sahaja di dalam bilik hotel dan menikmati semua perkhidmatan dan kemudahan hotel yang tersedia.

Dengan cuti hujung minggu yang panjang sempena sambutan Hari Merdeka dan beberapa lagi cuti hujung minggu panjang yang akan datang, kami sudahpun merancang dan bersiap sedia untuk pengembaraan tempatan ini. Sama ada anda ingin berada di kawasan pantai ataupun menikmati laksa yang anda sudah lama mengidam itu, terdapat pelbagai pilihan percutian berdasarkan bajet anda. Percutian hujung minggu ini merupakan idea yang baik untuk meluangkan sedikit masa untuk diri anda menenangkan dan menyegarkan diri anda sendiri.

 

Tingkatkan kesihatan anda dengan Pulse by Prudential yang serba baharu. Muat turun atau kemas kini aplikasi anda ke versi terkini melalui App Store & Google Play.

Pastikan anda melengkapkan bahagian Profil and Pemeriksaan Kesihatan untuk layak satu sesi PERCUMA* Khidmat Doktor Dalam Talian Pulse by Prudential.

*Tertakluk terma

Back to Top