Perancangan Kewangan: Membantu Anda Menghadapi Situasi Menduga

 

Kemelesetan ekonomi berkemungkinan sangat besar kesan daripada pandemik COVID-19 global – persoalannya, adakah anda bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi ketidaktentuan ekonomi ini?

Apakah itu kemelesetan ekonomi?
Kemelesetan ekonomi, ataupun ‘economic recession’, terjadi apabila berlakunya pengurangan aktiviti ekonomi secara berterusan. Ia adalah disebabkan oleh pelbagai perkara seperti kejatuhan perbelanjaan yang ketara dan berterusan, krisis kewangan, pertumbuhan ekonomi yang negatif ataupun bencana alam termasuk penyakit wabak seperti COVID-19. Bukti kemelesetan boleh dilihat berdasarkan kemerosotan kiraan KDNK (GDP), peningkatan kadar pengangguran serta pengurangan pengeluaran bekalan.

Sudah lebih 20 tahun sejak Malaysia mengalami kemelesetan ekonomi yang terakhir. Sewaktu krisis kewangan Asia yang berlaku sekitar pertengahan sehingga penghujung tahun 90an, GDP negara menyusut dari US$100.8 bilion pada tahun 1996 kepada US$72.2 bilion pada tahun 1998. Golongan yang melalui zaman tersebut tentu masih ingat apabila kadar pertukaran nilai ringgit dengan mata wang Amerika Syarikat dan United Kingdom seakan berganda dengan serta-merta.

Malaysia hanya kembali ke paras GDP sewaktu tahun 1996 pada tahun 2003. Walaupun paras GDP negara boleh dikatakan kekal stabil sejak itu, berkemungkinan besar pandemik COVID-19 akan mendatangkan kemelesetan ekonomi global yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanakah kemelesetan ekonomi akan mempengaruhi anda?
Kemelesetan ekonomi akan memberi kesan terhadap ramai orang, tetapi golongan paling terjejas adalah mereka yang kehilangan pekerjaan (ataupun yang sedang menganggur) serta mereka yang mempunyai hutang yang tinggi. Jika anda baru sahaja memulakan pekerjaan yang baru, risiko untuk anda diberhentikan lebih tinggi apabila majikan anda mula membuang pekerja.

Kita tidak mampu mengawal kemelesetan ekonomi daripada berlaku mahupun meramal jaminan keselamatan pekerjaan kita. Tetapi, kita boleh mempersiapkan diri kita untuk menghadapi kemelesetan ekonomi, dan lebih awal anda bermula, lebih baik.

Mulakan perancangan kewangan dengan membina tabung kecemasan
Membina tabung kecemasan merupakan cara yang paling selamat untuk mengharungi kemelesetan ekonomi. Tabung kecemasan amat penting dalam menyediakan jaringan keselamatan dan memberi anda masa yang mencukupi untuk anda bangkit semula dalam situasi yang menduga. 

Pakar kewangan menyarankan untuk menyediakan tabung kecemasan yang jumlahnya bersamaan dengan sekurang-kurangnya enam bulan pendapatan anda. Ini untuk memastikan tabung kecemasan anda cukup untuk menampung kos hidup yang merangkumi segala keperluan harian dan komitmen kewangan termasuk pinjaman peribadi serta perumahan, nafkah saraan anak dan sebagainya. Jika anda bekerja sendiri, anda disarankan supaya mempunyai tabung kecemasan selama satu tahun jumlah pendapatan anda agar anda tidak bergantung kepada kad kredit ataupun membuat pinjaman yang baru kerana perkara ini mengakibatkan pembayaran pinjaman yang lebih tinggi di masa akan datang.

Bagaimanakah cara untuk memulakan tabung kecemasan?

Tamadun Rom tidak terbina dalam sehari. Begitu juga dengan tabung kecemasan, ia mungkin mengambil masa bertahun untuk membina jaringan keselamatan sebanyak enam bulanbergantung kepada pendapatan dan perbelanjaan anda. Tetapi anda tidak perlu risau kerana yang lebih penting ialah menyimpan sekarang lebih baik daripada tidak bermula langsung.

  • Mulakan dengan langkah kecil. Jika anda mampu menyimpan RM10 seminggu, dalam masa setahun, anda akan mempunyai RM520 dalam tabung kecemasan. Tambahkan nilai simpanan sedikit demi sedikit berdasarkan pendapatan anda. Jika anda menerima bonus ataupun hadiah wang tunai, pastikan anda menyimpan sebahagian daripada wang tersebut sebelum anda membelanjakannya.
  • Buka akaun simpanan yang baru. Jangan gunakan wang di dalam akaun tersebut kecuali bila anda benar-benar memerlukannya. Simpan kad debit akaun tersebut di tempat yang tersembunyi untuk mengelakkan anda daripada menggunakan wang tersebut selain untuk kecemasan.
  • Jika pendapatan anda stabil dan tetap, buat deposit terus secara automatik supaya anda tidak perlu risau jika terlupa untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun simpanan kecemasan anda.
  • Fikirkan cara yang baru untuk mengumpul duit simpanan. Cuba untuk menyimpan semua wang kertas yang bernilai RM1, RM5, RM10 atau RM20 selama satu tahun. Anda mungkin terkejut dengan jumlah simpanan yang boleh dihasilkan.
  • Pertimbangkan untuk melanggan pelan insurans atau Takaful berkaitan pelaburan yang boleh melindungi anda sambil membantu anda berjimat serta menyediakan peluang pelaburan. Sebagai contoh, pelan PruBSN Aspirasi atau PruBSN WarisanPlus memberi anda peluang pelaburan untuk meningkatkan nilai tunai sijil anda.
  • Terus menyimpan sedikit atau sebanyak mana pun wang yang anda ada dalam apa jua situasi. Usaha anda pasti berbaloi!

Sesuaikan cara hidup anda dengan normal baharu
Mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan amat penting untuk memastikan anda kekal berdaya tahan sewaktu kemelesetan ekonomi. Ini bukan bermakna anda perlu ketepikan semua keselesaan hidup, terdapat pelbagai cara untuk mengecilkan perbelanjaan tanpa perlu menjejaskan taraf hidup.

  • Masak sendiri dan makan di rumah dengan lebih kerap. Gunakan bahan tempatan daripada bahan yang diimport.
  • Cabar diri anda untuk tidak membeli belah selama setahun, kemudian hadiahkan ganjaran kecil kepada diri sendiri mengikut kemampuan pada hujung tahun.
  • Gunakan pengangkutan awam, ataupun tukar kepada kenderaan yang lebih berekonomi.
  • Elak melancong secara mewah ke luar negara. Jika anda ingin bercuti, ‘staycation’ merupakan alternatif yang popular, atau melancong dalam negeri sahaja. Pilih untuk menginap di hotel butik yang kecil dan ‘Instagramable’ daripada memilih hotel 5-bintang.
  • Sekiranya anda menyewa, berpindah ke rumah sewa yang lebih kecil dan murah boleh membantu mengurangkan perbelanjaan bulanan anda. Anda juga boleh menjana pendapatan tambahan dengan menjual perabot ataupun barang yang tidak terpakai untuk rumah baharu anda.
  • Laraskan atau sediakan bajet untuk membantu anda menguruskan perbelanjaan bulanan dengan lebih baik. 

Pertimbangkan sumber pendapatan dan pelaburan yang lain
Mempunyai pekerjaan kedua adalah lumrah bagi mereka yang merasakan pendapatan mereka tidak mencukupi. Semasa kemelesetan ekonomi, kebanyakan perniagaan akan memilih untuk mengupah pekerja sambilan, dan ini adalah sesuatu yang boleh anda manfaatkan.

  • Jika mempunyai masa, carilah pekerjaan sambilan, jadi pekerja bebas, ataupun cari pekerjaan lain untuk menambah pendapatan anda.
  • Cari peluang untuk menjana pendapatan menggunakan bakat atau hobi anda. Jika anda boleh melukis, jualkan hasil seni anda. Anda boleh membuat kek yang sedap? Cuba ambil pesanan dan jual kek anda kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan jiran. Anda boleh gunakan platform online untuk mula menjual.
  • Anda ada bilik kosong? Boleh cuba sewakan bilik tersebut.
  • Jika anda seorang pelabur saham, simpan portfolio pelaburan yang pelbagai. Sesetengah perniagaan menjadi muflis sewaktu kemelesetan, manakala perniagaan yang lain pula akan berkembang. COVID-19 adalah contoh yang terbaik dalam hal ini– walaupun banyak perniagaan terpaksa ditutup, pasaraya, farmasi dan pengilang tisu tandas dilihat semakin berjaya. Perkhidmatan pos dan penghantaran juga menunjukkan peningkatan permintaan sehingga terpaksa mengambil ramai pekerja sambilan untuk membuat penghantaran.
  • Jika anda mempunyai lebihan simpanan, laburkan dalam aset yang berharga, seperti tanah, rumah, atau emas.
  • Pelan insurans atau Takaful berkaitan pelaburan juga merupakan cara yang baik untuk menghasilkan pendapatan tambahan. Pelan PruBSN WarisanPlus, PruBSN Setia atau PruBSN Impian memberikan pulangan ke atas sumbangan anda, sambil melindungi diri anda serta orang tersayang.

Jangan lupa untuk membayar hutang anda
Anda mungkin teringin menghentikan seketika pembayaran hutang sewaktu kemelesetan, namun ini akan memberi anda masalah kewangan yang baru akibat pengumpulan kadar faedah serta denda yang tinggi. Jumlah hutang yang rendah bermaksud lebih banyak sumber wang yang boleh dijadikan simpanan, jadi teruskan membuat pembayaran, walaupun dalam jumlah yang minimum.

Adakah COVID-19 akan membawa kepada kemelesetan ekonomi? Sukar untuk dikatakan, tetapi tiada sebab untuk anda tidak membuat persediaan sekarang. Sedikit manapun jumlah tabung kecemasan anda, ia lebih baik daripada tidak menyimpan langsung. Jika ekonomi dunia meningkat kembali dan kedudukan kewangan anda kukuh, simpanan anda boleh digunakan pada masa hadapan. Sekurang-kurangnya, anda mempunyai simpanan yang selesa untuk bersara di masa hadapan.

Sejajar dengan usaha kami untuk memberikan yang terbaik kepada para pelanggan, kami menawarkan Perlindungan Khas COVID-19 secara percuma kepada semua pengguna berdaftar Pulse by Prudential. Dapatkan bantuan wang tunai sehingga RM2,000* apabila dirawat di hospital dan manfaat kematian RM20,000*. Muat turun aplikasi Pulse by Prudential di App Store dan Google Play sebelum 30 Jun 2020 untuk menikmati manfaat ini.

*Tertakluk terma

Back to Top