Lima Idea Menjana Pendapatan Pasif bagi Si Celik IT

 

Menjana pendapatan pasif merupakan sesuatu aktiviti yang hanya boleh dinikmati oleh mereka yang mempunyai status kewangan yang kukuh untuk menjana lebih banyak wang. Dengan kewujudan pasaran global dalam talian dan pendigitalan pelbagai aspek dalam kehidupan kita, termasuklah tahap kewangan kita, skop dan cara untuk menjana pendapatan pasif kini menjadi semakin luas dan lebih mudah untuk dicapai berbanding sebelum ini.

Hari ini, sesiapa juga boleh menjana pendapatan pasif tanpa mengira status kewangan mereka. Pendapatan pasif merupakan cara yang bagus untuk menjana wang lebih untuk menambah pendapatan anda, membina tabung simpanan, membantu anda bersiap untuk bersara lebih awal, atau memberi kebebasan kewangan khususnya kepada golongan yang ingin menjadi majikan sendiri. Menjana pendapatan pasif juga mempelbagaikan portfolio kewangan anda dan memberi jaminan kewangan tambahan jika anda kehilangan pekerjaan tetap anda.

Lima cara untuk menjana pendapatan pasif
Walaupun menjana pendapatan pasif memberi keuntungan dengan usaha yang sedikit, jangan anggap bahawa anda tidak perlu melakukan apa-apa untuk menjana pendapatan. Untuk menjana pendapatan pasif, anda memerlukan sekurang-kurangnya, salah satu daripada perkara di bawah:

  • Wang yang banyak, atau
  • Masa dan tenaga yang banyak.

Menjana pendapatan pasif adalah satu pelan jangka panjang kerana bukan semua orang boleh menjadi bintang YouTube dalam sekelip mata. Bagi kebanyakan daripada kita, menjana pendapatan pasif yang kukuh memakan masa bertahun-tahun lamanya, mungkin berdekad-dekad lama, dengan sabar. Oleh sebab itu, penting untuk anda bermula dari awal lagi agar anda dapat memperoleh lebih banyak keuntungan nanti.

1. Simpan wang anda dalam dana berdividen
Dengan laporan tahunan menyatakan kadar dividen antara 5-7%, cara ini merupakan cara yang selamat dan terjamin untuk menjana pendapatan pasif dalam tempoh masa yang lama. Di samping itu, anda tidak memerlukan wang yang banyak untuk mula melabur. Di Malaysia, terdapat dua dana berdividen yang dikenali ramai iaitu Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

ASNB memerlukan pelaburan minimum sebanyak RM10 sahaja untuk anda mula menerima dividen. Dalam tempoh panjang, jumlah pelaburan ini akan bertambah, terutamanya apabila anda mula menabung sejakdari anda dilahirkan lagi.

KWSP adalah satu bentuk simpanan wajib yang disediakan untuk membantu rakyat Malaysia yang bekerja untuk memiliki simpanan semasa bersara nanti. Pengeluaran hanya dibenarkan apabila anda mencapai usia persaraan atau sekiranya anda memenuhi syarat-syarat yang tertentu. Namun begitu, terdapat had pengeluaran yang ditetapkan juga.

Dana berdividen swasta juga tersedia jika anda ingin menyimpan pendapatan tambahan anda. Lakukan penyelidikan untuk memastikan dana jenis ini memenuhi keperluan dan kemahuan anda serta tidak meletakkan hasil titik peluh anda dalam risiko.

2. Pelaburan kecil, impak besar
Melabur dalam pasaran saham boleh menjana wang yang banyak jika anda melabur dengan betul. Walau bagaimanapun, melabur dalam pasaran saham agak berisiko, lebih-lebih lagi jika anda baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan saham kerana anda berisiko untuk kehilangan modal anda. Namun begitu, dengan kemajuan teknologi dan inovasi, anda kini boleh mula melabur dengan modal serendah RM1 dan secara umumnya, lebih banyak wang dilabur, lebih tinggi jangkaan pulangan anda.

Terdapat 2 pelaburan yang semakin popular hari ini - penasihat robo (robo-advisors) dan P2P (peer-to-peer). Penasihat robo adalah penasihat pelaburan yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis trend, prestasi, dan ramalan dengan kadar fi rendah yang akan ditolak daripada keuntungan anda. Jika anda tidak menjana keuntungan, penasihat robo ini tidak akan mengambil sebarang fi.

Peminjaman secara P2P mengumpul dana daripada beberapa orang pelabur dan meminjamkan dana tersebut kepada perniagaan. Pinjaman perlu dibayar semula berserta   berserta faedah. Selain menjana pendapatan pasif, pelaburan anda mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan membantu syarikat pemulaan serta perniagaan kecil dan sederhana (SME).

Kedua-dua jenis pelaburan ini mempunyai pelbagai risiko. Jika anda ingin berminat untuk menerokai pelaburan ini, anda boleh membuat penyelidikan terlebih dahulu dan pilih pelaburan yang sahih seperti mempunyai lesen dan dikawal selia oleh badan-badan keselamatan dan kewangan tempatan anda.

Jika anda memiliki insurans atau Takaful, pastikan anda memilih pelan yang berasaskan pelaburan. Jenis pelaburan sebegini selalunya memberi pulangan yang kecil. Tetapi kerana anda membayarnya setiap bulan, apa salahnya untuk anda menjana pendapatan secara pasif bukan?

3. Menjana pendapatan dalam talian melalui pengiklanan sekutu
Menjana pendapatan pasif melalui pengiklanan sekutu tidak memerlukan modal yang banyak tetapi mengambil masa yang lama dan memerlukan usaha.

Pendapatan dijana berdasarkan bilangan klik pada iklan di landasan digital anda. Lebih banyak klik, lebih tinggi pendapatan dijana. Antara program-program sekutu yang popular termasuklah Google AdSense, Sekutu Amazon, Rangkaian Rakan Kongsi eBay dan Pemasaran Rakuten, dan banyak lagi.

Mencipta laman web merupakan permulaan yang terbaik untuk menjana pendapatan melalui pengiklanan sekutu kerana anda tidak perlu menetapkan bilangan minimum pembaca, penonton atau pengikut. Namun, lebih besar pangkalan penonton anda, lebih banyak bilangan klik yang anda akan terima, bermakna anda akan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

YouTube mempunyai kaedah pengiklanan sekutu yang berbeza, terdapat syarat-syarat tertentu sebelum anda layak dinaik taraf kepada akaun rakan YouTube dan mula menjana keuntungan melalui video anda. Anda perlu mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 langganan dengan tempoh tontonan selama 4,000 jam sepanjang 12 bulan terkini. Anda juga harus mematuhi panduan dan polisi YouTube. Untuk menjadi bintang YouTube, anda perlu berusaha dengan gigih dan memiliki kreativiti. Namun, potensi penjanaan pendapatan pasif pastinya menguntungkan dan berbaloi dengan usaha yang diberi.

4. Mencipta produk digital
Dunia digital memerlukan kandungan digital dan terdapat pelbagai produk yang anda boleh cipta dan menjualnya kepada pelanggan di seluruh dunia. Jika anda mempunyai hobi, kemahiran atau kepakaran khusus, jual produk digital anda kepada kumpulan pelanggan yang betul dan anda tidak akan sangka keuntungan yang anda boleh perolehi!

Terdapat banyak produk digital yang anda boleh cipta dan jual dalam talian tanpa memerlukan modal yang tinggi. Mulakan dengan menyenaraikan kemahiran dan minat anda untuk terokai sebarang kemungkinan yang ada.

5. Jadi penjual dalam talian
Menjual dalam talian boleh menjana pendapatan pasif dan menguntungkan, dan anda boleh menentukan tahap penglibatan anda dalam seluruh proses ini.

Lazimnya, menjual dalam talian memerlukan penyediaan senarai produk dan sistem untuk menghantar produk apabila pesanan diterima. Namun begitu, jika anda menjual produk digital atau tertumpu pada konsep pesan-hantar, penglibatan secara fizikal sangatlah kurang. Sebaliknya, anda hanya perlu menyusun semua produk yang ingin dijual di laman web anda, menerima pesanan dan menyediakan arahan yang betul kepada pelanggan atau pembekal anda.

Landasan e-dagang seperti Amazon, Lazada dan Shopee telah memudahkan proses untuk menjadi penjual dalam talian. Anda cuma perlu mendaftar untuk membuka akaun penjual, muat naik maklumat produk anda, tetapkan harga jualan dan hanya tunggu untuk menerima pesanan. Perkara yang menarik ialah, anda boleh lakukan semua ini dengan membayar komisen jualan yang berpatutan.

Menjana pendapatan pasif adalah satu impian yang boleh dicapai. Sama ada anda memilih untuk menjana keuntungan melalui masa atau wang anda, cuba sahaja idea-idea ini. Siapa tahu, anda mungkin dapat membina simpanan anda tanpa perlu bekerja keras siang dan malam.

Dapatkan e-baucar Lazada bernilai sehingga RM500 dengan melanggan PruBSN Setia, PruBSN Impian atau PruBSN WarisanPlus sebelum 30 September 2020. Ketahui lebih lanjut PruBSN Shopping Bonanza.

* Terma tertakluk.

Back to Top