Kesedaran Kesihatan Mental: 8 Tip Penjagaan Kendiri semasa COVID-19

 

COVID-19 mendatangkan kesan langsung kepada kita semua sama ada besar atau kecil. Impak dari segi fizikal dan kewangan dapat dilihat di seluruh dunia, tetapi impak terbesar pandemik ini kepada orang ramai mungkin dari segi mental.

Dari keadaan terasing sewaktu kuarantin sehingga mengingatkan diri sendiri untuk patuh kepada prosedur keselamatan yang baru, ataupun rasa kecewa terhadap orang ramai yang seakan tidak memahami erti penjarakan fizikal, keadaan yang luar biasa ini boleh mengakibatkan rasa gelisah yang keterlaluan dan menjejaskan kesihatan mental.

Selain itu, dengan jumlah kes jangkitan semakin meningkat yang menunjukkan Malaysia sedang memasuki gelombang COVID-19 yang kedua dan ketiga, cubaan untuk mengikuti kehidupan normal baharu sambil menjaga keselamatan diri telah mendatangkan pelbagai cabaran dari segi kesihatan mental kepada kita semua.

Pemeriksaan penjagaan kendiri yang mudah
Luangkan masa untuk membuat pemeriksaan kendiri dengan bertanya diri anda apa perasaan anda sekarang: 

Tidak kira apa jawapan anda, tanya diri anda sendiri apa yang telah anda lakukan, apa yang difikirkan atau bagaimana perasaan anda kebelakangan ini:

  • Sekiranya anda berasa hebat, anda sedang menguruskan diri dan persekitaran anda dengan baik dan anda mungkin juga mengamalkan penjagaan kendiri untuk mengawal pemikiran dan emosi anda.
  • Sekiranya anda terasa letih, mungkin anda perlu mengambil masa untuk mengenal pasti apa yang menghabiskan tenaga anda, dan mula mengamalkan penjagan kendiri.

Sama anda seorang petugas barisan hadapan yang memerangi wabak COVID-19 setiap hari, suri rumah yang hanya berada di rumah untuk menjaga keperluan pasangan dan anak-anak, ataupun seseorang yang berisiko rendah yang mula kembali kepada rutin harian yang normal, pengamalan penjagaan diri boleh membantu anda.

Jangan takut untuk meminta bantuan
Anda mungkin berasa lemas dan mengalami tekanan sekiranya hanya anda seorang yang perlu melakukan semua perkara– jangan takut untuk meminta bantuan. Walaupun perkara kecil seperti meminta pertolongan mencuci pinggan, ataupun sekiranya anda memerlukan masa untuk bersendirian tanpa anak-anak, luahkan perasaan anda dan minta bantuan. Tentu ada yang sedia membantu, dan anda boleh hulurkan bantuan kepada mereka jika keadaan anda mengizinkan.

Sekiranya anda terasa seperti keadaan di luar kawalan anda, jangan berasa malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Kesihatan mental anda amat penting, dan adalah lebih baik untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan sebelum keadaan menjadi lebih tenat.

Marilah kita mengamalkan beberapa langkah penjagaan kendiri yang mudah bagi membantu kesihatan mental anda pada masa yang tidak menentu ini.

1. Lakukan aktiviti yang anda suka
Luangkan masa setiap hari untuk aktiviti yang diminati, sama ada ia membuat kek, menonton rancangan TV kegemaran anda, berkebun, melukis ataupun berkaraoke.

Terpesona dengan projek hiasan dalaman rumah? Laksanakan idea anda dengan projek yang mudah. Contohnya, rombakan sudut bilik menjadi sudut bacaan peribadi boleh memberikan anda inspirasi dan membuatkan diri anda berasa lebih gembira

Ingin keluar berjalan-jalan? Kini, anda boleh asalkan anda sentiasa berwaspada denagn mematuhi SOP. Anda boleh luangkan masa di kafe kegemaran anda, membeli-belah di butik kegemaran anda, ataupun bertemu dengan kawan-kawan anda sambil menjamu selera.

2. Amalkan kesedaran diri
Kesedaran diri boleh didefinisikan sebagai berada dalam keadaan peka, hadir, tenang dan fokus pada setiap aspek kehidupan anda. Walaupun secara amnya semua orang memiliki kebolehan ini, kesedaran diri perlu dilatih.

Lebih kerap anda melatihkan diri anda untuk mempunyai kesedaran diri, lebih mudah untuk anda mengharungi keadaan yang menekan jiwa:

  • Sama ada menerusi yoga, latihan pernafasan, menikmati secawan kopi, ataupun menikmati kehijauan alam, bertafakur merupakan cara yang baik untuk mengawal diri dan pemikiran anda serta membina keupayaan untuk fokus.
  • Fokus pada perkara dalam kawalan anda. Jika anda bukan seorang saintis yang mencari vaksin untuk COVID-19, fokus kepada apa yang anda mampu lakukan untuk memutuskan rantaian jangkitan – jauhilah tempat yang sesak, pakai pelitup muka di tempat awam dan basuh tangan dengan kerap.
  • Berbuat baik. Setiap orang menghadapi tekanan tersendiri. Sekiranya orang berdiri terlalu dekat dengan anda, bagitahu mereka dengan sopan untuk mematuhi penjarakan sosial.
  • Mulakan sebuah jurnal. Anggaplah jurnal sebagai tempat yang selamat untuk anda meluahkan segala kebimbangan atau tekanan, atau untuk merakamkan segala kesyukuran dalam hidup anda. Tabiat menyimpan jurnal boleh menjadi terapi yang menenangkan fikiran, walaupun anda sekadar melukis di dalamnya.
  • Ambil masa untuk berehat. Hentikan segala yang di lakukan dan luangkan masa sejam, ataupun sepanjang hari, untuk melakukan aktiviti yang berbeza bagi menyegarkan fikiran.

3. Sentiasa berhubung dengan orang lain
Ramai antara kita mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di merata-rata tempat, ada yang berada di kawasan yang mempunyai angka jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Daripada membazirkan masa memikirkan perkara yang sia-sia, berhubunglah dengan mereka. Pada zaman sekarang, kaedah untuk berhubung sangat mudah dan luas, anda tidak perlu menunggu untuk mereka menghubungi anda terlebih dahulu. Mendengar suara yang dikenali dari jauh boleh menaikkan semangat anda.

4. Senaman boleh meningkatkan mood anda
Selain manfaat dari segi fizikal, senaman menghasilkan hormon endorfin yang mampu memberikan rasa gembira dan mengurangkan tekanan. Jika anda belum bersedia untuk pergi ke pusat gim atau menghadiri kelas senaman, cuba berjoging sambil mematuhi penjarakan fizikal, atau ikuti video-video YouTube untuk idea senaman di rumah.

5. Hadkan laporan berita yang kurang menyenangkan
Berita berkaitan COVID-19 serta akibatnya akan sentiasa kedengaran buat masa ini, dan ini tidak membantu kerana melalui berita-berita tersebut, kita melihat seluruh dunia seprti tidak betul dan membimbangkan.

Daripada merisaukan diri anda dengan berita yang kurang menyenangkan, sekat diri anda untuk membacanya. Hadkan diri anda kepada satu laporan berita buruk dalam sehari. Dan tidak perlu menjadi panic dan percaya semua yang and abaca melalui ‘forwarded messages’, tunggu sehingga informasi itu diumumkan secara rasmi ataupun dilaporkan oleh portal berita yang bertauliah.

6. Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain
Pada zaman media sosial dan perkongsian berita yang keterlaluan, adalah mudah untuk membandingkan gaya hidup anda dengan orang lain. Melihat mereka yang lain bertukar menjadi pakar kek, chef di rumah, ataupun menguasai kemahiran baru di rumah semasa tempoh kuarantin,  anda mungkin akan terasa kecewa dan kosong apabila membandingkan aktiviti kuarantin anda yang tidak beberapa memuaskan.

Ini tidak seharusnya berlaku.

Kehidupan anda berlainan dari kehidupan mereka, dan anda hanya mampu melihat apa yang mereka tunjukkan. Tumpukan perhatian terhadap apa yang perlu dibuat demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri serta keluarga anda.

7. Belanja secara bijak
Kedudukan kewangan tidak menentu untuk kita semua pada masa ini. Daripada terus menjadi panik tidak tentu pasal, mulakan perancangan kewangan anda dan amalkan bajet harian. Jika anda melakukan bajet harian, anda boleh melihat perbelanjaan mana yang boleh dikurangkan, apa perbelanjaan yang perlu ditumpukan dan anda juga boleh mempertimbangkan keadah lain untuk menambahkan pendapatan anda sekiranya perlu.

8. Menetapkan sempadan kerja

Salah satu isu bagi mereka yang masih bekerja sepenuh masa dari rumah adalah sempadan kerja harian yang tidak jelas. Sebelum ini, pekerja boleh rehat dan keluar pada waktu makan, tetapi sekarang terdapat majikan yang menganggap pekerja mereka boleh bekerja sepanjang masa kerana mereka hanya berada di rumah. Tempoh bekerja juga sering dipanjangkan, termasuk pada hujung minggu dan hari cuti awam.

Walaupun ada pekerja yang mungkin selesa dengan keadaan ini, anda mungkin tidak bersetuju, dan sekiranya anda berasa tertekan atau menerima impak negatif dari situasi ini, anda harus menetapkan sempadan atau had kerja yang jelas. Ikutilah jadual waktu kerja anda yang biasa, dan tegaskan kepada majikan anda untuk menghormatinya.

Tidak kira siapa diri kita ataupun apa situasi kehidupan kita semasa pandemik COVID-19 ini, adalah penting agar kita menjaga kesihatan mental diri sendiri. Malah, perkara yang kecil pun boleh membantu kita mengharungi dugaan ini. Sentiasa ingat, tiada kesalahan untuk berasa tidak ok (it is ok not to be ok). Dapatkan bantuan yang sepatutnya dan juga hulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Sambil kita menjaga kesihatan mental kita, jangan lupa tanggungjawab sosial bersama kita untuk membendung risiko jangkitan COVID-19. Sentiasa patuh SOP, amalkan 3W dan elakkan 3S/3C. #KitaJagaMalaysia

Back to Top