Pesanan daripada CEO PruBSN


Pelanggan yang dihormati,

Seperti yang kita sedia maklum, wabak COVID-19 telah mencetuskan cabaran yang hebat dan kebimbangan terhadap perniagaan dan keluarga di seluruh dunia. Di kesempatan ini, kami ingin merakamkan rasa simpati terhadap mangsa dan keluarga mereka yang terkesan, juga para pekerja kesihatan dan barisan hadapan yang sanggup berkorban demi menentang pandemik ini.

Kami ingin meyakinkan anda bahawa syarikat kami kekal berdaya tahan. Sepanjang 14 tahun kami beroperasi, kami telah melalui pelbagai cabaran dan kami percaya kami juga mampu mengatasi dugaan ini. Dengan usaha kolektif semua di dalam syarikat kami, kami komited memastikan keperluan kesihatan, perlindungan dan simpanan anda sentiasa dijaga dan kami akan berada di sisi anda di setiap perjalanan anda.

Perkhidmatan Takaful telah diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting. Sebagai organisasi yang tangkas, kami mampu mengadaptasi cara kami beroperasi dengan situasi semasa dan melaksanakan langkah mudah bagi menyokong pekerja, pelanggan serta pihak berkepentingan yang lain.

Kami telah melaksanakan beberapa program bantuan untuk pelanggan dan komuniti seperti yang anda dapat lihat di bawah. Kami berharap bantuan sokongan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan sepanjang tempoh ini.

Kami akan terus memantau situasi semasa dan mengemas kini sebarang makluman di sini serta di saluran komunikasi online kami yang lain.

Sila pastikan keselamatan diri dan keluarga anda dan kekal positif. Saya yakin kita mampu menjadi komuniti yang lebih kuat dan lebih bersatu selagi kita terus bekerjasama, berkongsi pengalaman bersama dan menyokong satu sama lain. 

Wan Saifulrizal Wan Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
Prudential BSN Takaful

Kelangsungan Perkhidmatan


Sebagai pengendali takaful, perkhidmatan kami diklasifikasikan perkhidmatan penting. Perkhidmatan kami kekal beroperasi seperti biasa untuk memberikan bantuan takaful kepada anda apabila diperlukan. 

Untuk keselamatan semua, kami menyarankan anda menggunakan perkhidmatan digital kami untuk pengurusan sijil dan pembayaran. 

Pembayaran Dalam Talian bagi
Pembayaran Sumbangan Takaful

Pelanggan yang dahulunya membuat pembayaran di cawangan kami kini boleh menggunakan saluran dalam talian berikut dengan selamat dan mudah:

Permohonan Tuntutan

Anda boleh mengemukakan tuntutan melalui e-tuntutan kepada Perunding Takaful PruBSN atau e-mel borang tuntutan lengkap bersama semua dokumen sokongan yang relevan ke dmc@prubsn.com.my. Untuk memahami keperluan tambahan yang diperlukan oleh Syarikat bagi tuntutan anda, sila rujuk portal PruBSN Touch. (Ini terhad kepada tuntutan yang sudah dihantar dan BUKAN untuk permohonan tuntutan baru).

Permohonan Permintaan Perkhidmatan

Anda boleh meminta bantuan daripada Perunding Takaful PruBSN anda untuk e-tuntutan, atau memuat turun pelbagai borang permohonan perkhidmatan dari Laman Web Korporat kami. Pelanggan hanya perlu mengisi borang dan e-mel ke dmc@prubsn.com.my 

PENTING: Bagi melindungi data peribadi pelanggan kami dan memastikan ketulenan permintaan pelanggan, kami hanya akan menerima borang yang diterima dari alamat e-mel pelanggan yang telah berdaftar dengan Syarikat kami. Bagi mengelak sebarang kelewatan, sila kemas kini alamat e-mel anda di PruBSN Touch.

Pembayaran Sijil & Pembayaran Pulangan

Kami akan membuat pembayaran sijil/pembayaran pulangan melalui pemindahan bank dalam talian kerana kami telah menghentikan pengeluaran cek sepanjang tempoh PKP. Sila kemas kini butiran akaun bank anda dengan kami dengan mengikuti langkah-langkah berikut:

i. Log masuk ke  PruBSN Touch

ii. Pilih menu Sijil > Senarai Sijil > Fasiliti E-Kredit > Daftar/Ubah Maklumat E-Kredit.

Komunikasi Berkaitan Sijil

Perkhidmatan surat-menyurat akan dihantar secara berperingkat dan kemungkinan akan ada kelewatan sewaktu tempoh PKP ini.

Akses kepada Maklumat Sijil

Anda juga boleh mengakses maklumat sijil anda, melakukan transaksi layan diri dan membuat bayaran sumbangan secara dalam talian melalui PruBSN Touch.

Permohonan Takaful Jarak Jauh


Perunding Takaful kami sedia berkhidmat untuk membantu anda menyemak perlindungan atau permohonan tuntutan anda. Kami telah melancarkan permohonan jarak jauh dan khidmat rundingan untuk membolehkan anda berhubung dengan Perunding Takaful kami dari keselesaan rumah anda.

Hubungi Kami

Perlindungan Khas Novel Coronavirus


Semangat KITA BOLEH bermakna kami sentiasa komited untuk memberikan perlindungan terbaik kepada pelanggan kami. Oleh itu kami menawarkan Perlindungan Khas Novel Coronavirus (COVID-19) dengan bayaran sekaligus sebanyak RM5,000 kepada pelanggan PruBSN yang didiagnosis dengan jangkitan Novel Coronavirus (COVID-19) oleh hospital yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selanjutnya

Bantuan untuk Pelanggan
Penangguhan Bayaran Sumbangan


Program bantuan ini memberikan kemudahan kepada pemegang sijil yang terkesan dengan COVID-19 atau PKP untuk memohon penangguhan bayaran sumbangan selama tiga (3) bulan. Dalam tempoh ini, sijil takaful anda masih berkuat kuasa.

1. Apakah penangguhan pembayaran sumbangan di bawah Program Bantuan ini?

Program Bantuan ini bertujuan untuk memberikan pemegang sijil tempoh penangguhan selama 3 bulan daripada membayar sumbangan untuk sijil takaful. Semasa tempoh penangguhan ini, kami akan terus memberikan perlindungan takaful. Ini BUKAN program penangguhan sumbangan automatik. Oleh itu pemegang sijil hendaklah memaklumkan pengendali takaful untuk memohon bantuan ini.

2. Siapakah yang layak untuk memohon Program Bantuan ini?

Program Bantuan ini dibuka kepada semua pemegang sijil PruBSN yang terkesan secara kewangan oleh COVID-19 atau PKP. Ini termasuklah pemegang sijil yang telah dikuarantin di rumah atau terjejas akibat kehilangan pendapatan daripada kerja atau perniagaan akibat PKP dan tahap ekonomi yang perlahan semasa pandemik ini.

3. Bilakah tarikh efektif untuk Program Bantuan ini?

Program Bantuan ini akan berkuat kuasa dari 1 April 2020 hingga 31 Disember 2020 (termasuk kedua-dua tarikh). Penangguhan pembayaran sumbangan, sekiranya diluluskan oleh PruBSN, adalah sehingga 3 bulan maksimum dari tarikh kelulusan.

Sebagai contoh:

  • Permohonan Penangguhan Bayaran yang diserahkan pada Mei 2020.

  • Permohonan Penangguhan Bayaran yang diluluskan dan dimulakan pada 1 Jun 2020.

  • Tempoh penangguhan berakhir pada 31 Ogos 2020.
4. Bagaimana untuk memohon?

Pemegang sijil PruBSN boleh mengemukakan permohonan
mereka dengan menghantar dokumen-dokumen berikut ke customer@prubsn.com.my dengan e-mel bertajuk:

PERMOHONAN PENANGGUHAN PEMBAYARAN: SIJIL XXXXXXXX

  1. Surat Doktor mengesahkan jangkitan COVID-19 (jika pemegang sijil dijangkiti),

  2. Surat Pengurangan Gaji/Surat Penamatan Gaji Majikan, atau

  3. Surat Penutupan bagi perkhidmatan bukan penting oleh Pemilik Perniagaan, atau

  4. Bukti atau dokumen lain yang relevan, jika ada (contohnya: notis penutupan pusat penjaja)

PENTING: Bagi melindungi kepentingan pelanggan kami dan ketulenan permohonan, PruBSN hanya akan menerima permohonan yang dikirimkan daripada alamat e-mel yang telah didaftarkan dengan kami. Sila kemas kini butiran peribadi anda melalui PruBSN Touch.

5. Perkara yang perlu diketahui mengenai penangguhan pembayaran sumbangan.

  • Ini bukan penepian sumbangan.

  • Tiada caj pentadbiran yang dikenakan untuk sijil takaful sepanjang tempoh penangguhan.

  • Sekiranya permohonan anda diluluskan, perlindungan sijil anda akan berkuat kuasa semasa tempoh penangguhan.

  • Bagi sijil berkaitan pelaburan, potongan Tabarru` akan terus ditolak.

  • Apabila tempoh penangguhan berakhir, kewajipan pemegang sijil untuk membayar sumbangan akan disambung semula. Sila rujuk pada sijil takaful untuk memahami situasi sekiranya tiada bayaran sumbangan dibuat.

6. Jika alamat e-mel tidak dapat dikemas kini melalui PruBSN Touch, bagaimana caranya untuk saya kemas kini e-mel?

Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di talian 03 - 2053 7188, dari Isnin hingga Jumaat, untuk bantuan.

7. Berapa lamakah masa yang diambil untuk memproses permohonan?

7 hari bekerja diperlukan untuk memproses permohonan anda dari tarikh permohonan dan bukti atau dokumen diterima.

8. Bolehkah saya memohon Program Bantuan ini sekiranya saya mempunyai sumbangan yang tertunggak sebelum tempoh penangguhan ini dilaksanakan?

Pemegang sijil yang layak dengan sijil yang telah dikuat kuasa dan masih berkuat kuasa pada masa permohonan dibuat boleh memohon untuk Program Bantuan ini.

9. Bolehkah saya memohon bagi beberapa sijil dalam satu e-mel untuk penangguhan bayaran ini?

Anda boleh menyenaraikan semua nombor sijil dalam satu e-mel apabila mengemukakan permohonan untuk penangguhan bayaran ke customer@prubsn.com.my dengan e-mel bertajuk:

PERMOHONAN PENANGGUHAN PEMBAYARAN: SIJIL XXXXXXXX

Kami menyarankan anda untuk membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat permohonan untuk penangguhan bayaran atas sebab-sebab berikut:

  • Ini bukan penepian sumbangan.
  • Tiada caj pentadbiran yang dikenakan untuk sijil takaful sepanjang tempoh penangguhan.
  • Apabila tempoh penangguhan berakhir, kewajipan pemegang sijil untuk membayar sumbangan akan disambung semula.
Semua sumbangan yang tertunggak hendaklah diselesaikan. Sila rujuk pada sijil takaful untuk memahami situasi sekiranya tiada bayaran sumbangan dibuat.
10. Apakah tahap pendapatan mininum untuk layak menyertai Program Bantuan ini? Tiada aras pendapatan minimum, asalkan pemegang sijil memenuhi kriteria kelayakan untuk Program Bantuan ini. 
11. Adakah saya perlu membayar balik sumbangan selepas tempoh penangguhan tamat? Ya, anda perlu membayar semula sumbangan setelah tempoh penangguhan berakhir untuk mengelakkan sijil daripada luput.

12. Bagaimana untuk saya tahu sama ada permohonan untuk bayaran penangguhan berjaya?

Anda akan menerima notifikasi e-mel atau SMS dari PruBSN yang mengesahkan sama ada permohonan anda diluluskan atau sebaliknya.
13. Bolehkah saya mendapatkan pertolongan Perunding Takaful PruBSN yang berkhidmat untuk memohon Program Bantuan ini bagi pihak saya? Ya, anda boleh memberi kebenaran dan menyerahkan bukti-bukti untuk menyokong permohonan penangguhan kepada Perunding Takaful PruBSN yang berkhidmat untuk membantu anda.
14. Adakah sijil saya akan luput semasa tempoh penangguhan? Sijil tersebut akan kekal dikuat kuasa sepanjang tempoh penangguhan bayaran sekiranya permohonan anda diluluskan.
15. Adakah terma sijil akan dilanjutkan dari tarikh penangguhan ini dilaksanakan? Terma sijil anda akan dikekalkan.

16. Jika potongan sumbangan sijil saya dibuat melalui kad kredit/debit, autodebit bank atau arahan tetap, apa yang perlu saya buat setelah permohonan saya diluluskan?

Selepas mendapat kelulusan bagi Program Bantuan:

a) PruBSN akan memberhentikan potongan sumbangan melalui kad kredit/debit dan autodebit sehingga akhir tempoh penangguhan.

b) Bagi sijil di bawah arahan tetap bank, pemegang sijil perlu memaklumkan pihak bank mereka untuk memberhentikan bayaran tersebut.

17. Setelah tempoh penangguhan berakhir, apa yang perlu saya buat untuk meneruskan pembayaran melalui kad kredit/debit, autodebit dan arahan tetap?

a) Bagi sijil di bawah potongan autodebit atau kad kredit/debit, setelah tempoh penangguhan berakhir, potongan melalui kad kredit/debit atau autodebit akan bersambung dengan satu caruman sumbangan pada satu-satu masa.

b) Bagi bayaran sumbangan terkini, pemegang sijil boleh membayar melalui PruBSN Touch atau Portal Bayaran PruBSN.

c) Bagi arahan tetap bank, pemegang sijil dikehendaki memaklumkan pihak bank mereka untuk menyambung bayaran.

18. Adakah saya mempunyai pilihan lain selain Program Bantuan ini?

Anda boleh mempertimbangkan pilihan lain seperti mengurangkan jumlah perlindungan, pelan tambahan (rider) atau membatalkan beberapa manfaat daripada sijil anda untuk mengurangkan jumlah sumbangan. Pemegang sijil boleh merujuk pada Perunding Takaful PruBSN/Wakil Bank untuk rundingan.

19. Jika saya sudah membuat tuntutan untuk manfaat khas COVID-19 sebanyak RM5,000 yang ditawarkan oleh PruBSN, adakah saya masih layak memohon Program Bantuan ini?

Ya, anda masih layak untuk Program Bantuan ini jika anda memenuhi kriteria iaitu pemegang sijil PruBSN yang telah dikuat kuasa dan terkesan secara kewangan disebabkan oleh COVID-19 atau PKP.
20. Jika sijil saya luput selepas tempoh penangguhan berakhir, bolehkah sijil ini dikuatkuasakan semula? Ya, anda boleh memohon untuk menguatkuasakan semula sijil anda dengan mengemukakan Borang Permohonan Penguatkuasaan Semula mengikut proses dan keperluan sedia ada. Sila hubungi Perunding Takaful PruBSN/Wakil Bank yang berkhidmat atau Pusat Khidmat Pelanggan kami untuk maklumat lanjut.
21. Sewaktu tempoh penangguhan bayaran, jika ada penyerahan tuntutan, adakah PruBSN membayar pampasan tanpa mengambil kira sama ada pembayaran semula telah dibuat? Permohonan tuntutan oleh pemegang sijil akan dipertimbangkan tertakluk pada pematuhan keperluan tuntutan asas dan penilaian lanjut. Tuntutan yang dibayar akan ditolak dari jumlah sumbangan tertunggak termasuk jumlah yang tertunggak sepanjang tempoh penangguhan (termasuk sebarang potongan lain berdasarkan terma-terma sijil berkenaan).
22. Apakah yang akan berlaku sekiranya pemegang sijil meninggal dunia semasa tempoh penangguhan 3 bulan ini? Sekiranya berlaku kematian dalam tempoh penangguhan, tuntutan yang perlu dibayar akan ditolak dari jumlah sumbangan tertunggak termasuk jumlah tertunggak dalam tempoh penangguhan (termasuk sebarang potongan lain berdasarkan terma-terma sijil berkenaan)


Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami, Isnin hingga Jumaat: 03 - 2053 7188

Dapatkan Info Terkini & Kekal Selamat


Percuma khidmat rundingan doctor dalam talian dengan aplikasi Pulse by Prudential

Melalui aplikasi kesihatan digital percuma kami, Pulse by Prudential, pelanggan PruBSN boleh mengakses khidmat rundingan doctor dalam talian secara percuma, manakala bukan pelanggan boleh menikmati perkhidmatan percuma ini selepas melengkapkan pemeriksaan kesihatan. 

Dapatkan info terkini dari sumber yang sahih

Pengguna Pulse boleh mendapatkan tips kesihatan terkini dan perkembangan terbaru COVID-19 melalui pautan sumber informasi tempatan dan antarabangsa.

Muat turun Pulse melalui App Store atau Play Store

Tabung Ujian Saringan COVID-19


Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah menubuhkan tabung bernilai RM8 juta untuk menyokong usaha Kementerian Kesihatan menjalankan lebih banyak saringan COVID-19 ke atas rakyat Malaysia. Melalui dana ini, pemegang sijil takaful perubatan boleh membuat tuntutan semula sebanyak RM300 maksimum untuk setiap ujian saringan. (satu tuntutan bagi setiap individu).

Selanjutnya

Bantuan untuk Komuniti


Semasa tempoh ini, komuniti yang paling terkesan adalah mereka yang berpendapatan rendah atau yang kurang berkemampuan. PruBSN bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk memberi sumbangan dan bantuan. 

Kutipan Dana PruBSN Prihatin COVID-19 dan pengagihan zakat kepada B40 dengan kerjasama MERCY Malaysia

Badan amal PruBSN, PruBSN Prihatin berjaya meraih lebih RM 33,000 melalui kempen Tabung Dana PruBSN Prihatin COVID-19 untuk menyokong misi Tabung Pandemik MERCY Malaysia. Dana ini akan disalurkan ke hospital-hospital kerajaan dan klinik-klinik daerah untuk membeli bekalan perubatan dan am, serta golongan kurang berkemampuan bagi membeli barangan keperluan harian mereka.

Selain daripada berpendapatan rendah dan terpaksa menanggung kos sara hidup yang tinggi, wabak COVID-19 and lanjutan PKP akan menjejaskan lagi kelangsungan hidup golongan miskin dan miskin tegar dalam kumpulan B40. Bersama MERCY Malaysia, PruBSN Prihatin memperuntukkan RM500,000 dari tabung zakat PruBSN untuk memberikan bantuan kepada keluarga yang tergolong dalam kominiti yang lemah ini.

Sumbangan melalui IMARET untuk memberikan bantuan kepada perkhidmatan perubatan dan barisan hadapan

PruBSN Prihatin telah menyumbangkan sebahagian daripada dana zakat mereka kepada IMAM Response & Relief Team (IMARET). Dana ini akan disalurkan ke perkhidmatan perubatan untuk para sukarelawan, permbelian bekalan perubatan dan am ke hospital dan klinik daerah serta membantu komuniti dan barisan hadapan yang dimasukkan ke hospital atau dikuarantin.

Untuk sebarang bantuan, hubungi Pusat Khidmat Pelanggan kami di 03-2053 7188 atau e-mel ke customer@prubsn.com.my (Isnin-Jumaat, 8.30 pagi-5.15 petang)

Ikuti kami di Facebook dan Instagram untuk info terkini mengenai inisiatif kami.

Back to Top