Susulan daripada bencana banjir terbesar di Pantai Timur Malaysia pada 2014, PruBSN dengan sokongan daripada badan amal pejabat serantau kami, Prudence Foundation, dan syarikat Prudential yang lain di Malaysia telah bersatu untuk menghulurkan bantuan terhadap Misi Bantuan & Pembinaan Semula Kelantan.
Lebih dari RM2 juta telah disumbangkan untuk bantuan segera di kawasan pedalaman yang teruk dilanda banjir iaitu Kampung Serasa di Dabong, Kelantan. Setiap minggu, 120 sukarelawan terdiri daripada wargakerja kami, wargakerja syarikat Prudential di seluruh Asia serta orang awam telah menyumbangkan sejumlah besar masa dan tenaga untuk membina rumah buat mangsa banjir.
Rumah tersebut telah direkabentuk untuk menahan daripada keadaan cuaca yang tidak menentu dan turut dilengkapi dengan cerucuk utama yang mengekalkan keutuhan rumah itu untuk menghadapi bencana alam. Rumah ini juga mesra alam kerana ia menggunakan sistem penuaian air hujan yang membekalkan air untuk minuman, memasak, membasuh dan bercucuk tanam. Setiap rumah dua tingkat itu dilengkapi dengan tiga bilik tidur, bilik air, dapur dan dewan rehat dalam lingkungan saiz 780 kaki persegi.
Pihak PruBSN turut memadankan sebanyak 100% ke atas sumbangan yang dibuat oleh kakitangan dan ejen, sebagai mempromosikan aktiviti sukarelawan dan memperluaskan impak kami terhadap mereka yang memerlukan.