Inovasi pendorong PruBSN dinobat Anugerah Institusi Takaful Terbaik

our-events-20140605

our-events-20140605

Kuala Lumpur, 5 Jun 2014 – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) menerima satu lagi penghargaan daripada The Asset, sebuah institusi penyelidikan dan penerbitan berpusat di Hong Kong, yang telah menganugerahkan pengendali takaful terkemuka itu sebagai Institusi Takaful Terbaik di upacara penganugerahan Triple A Islamic Finance Awards yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Anugerah berprestij ini diadili oleh lembaga pengarang The Asset, yang mempunyai pengalaman luas dalam penilaian anugerah-anugerah industri sekitar Asia. Kesemua pencalonan bagi anugerah itu dinilai dengan penuh teliti mengikut metodologi yang sangat ketat, yang menggabungkan kedua-dua faktor kualitatif dan kuantitatif sebelum lembaga pengarang memilih PruBSN sebagai pemenang bagi kategori Takaful.

Mengulas mengenai kejayaan ini, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Encik Azim Mithani berkata, “Ini merupakan pencapaian yang mengagumkan buat semua yang terlibat dengan syarikat ini. Kami merasa amat bangga menerima penganugerahan ini daripada satu jenama yang unggul seperti The Asset. Setinggi-tinggi penghargaan diberi ke atas usaha kolektif kesemua wargakerja, ejen dan rakan perniagaan kami. Melalui usaha mereka yang berterusan, bersama dengan pelaksanaan strategi-strategi utama kami secara berdisiplin, PruBSN hari ini telah memberikan perlindungan kepada lebih 600,000 pemegang-pemegang sijil iaitu 2% daripada populasi rakyat Malaysia. Kami sentiasa fokus menjana produk dan perkhidmatan inovatif untuk para pelanggan kami demi pembangunan bersama.”

Turut dianugerahkan kepada syarikat itu melalui Anugerah Triple A Islamic Finance Awards adalah anugerah Bintang Cemerlang Institusi Takaful pada tahun 2011 dan CEO Takaful Terbaik pada tahun 2013. Berdasarkan pencapaian cemerlang PruBSN pada tahun 2012, syarikat itu telah dinobatkan sebagai Pengendali Takaful Terbaik (Asia) oleh CPI Financial, satu lagi syarikat penerbitan terkemuka yang beroperasi di Dubai. Pada awal tahun ini di malam penganugerahan Malaysian Takaful Association, PruBSN telah merangkul 13 anugerah daripada 19 kategori termasuk Pengendali Takaful Terbaik untuk Perniagaan Takaful Agensi Keluarga, kejayaan yang belum pernah dimenangi oleh mana-mana pengendali takaful dalam sejarah anugerah itu. Penghargaan-penghargaan antarabangsa dan tempatan ini menguatkan lagi keupayaan perniagaan PruBSN pada jangka masa panjang untuk mempertingkatkan penembusan pasaran bagi pelbagai tawaran takaful di negara ini.

PruBSN telah mencapai posisi Nombor 1 untuk perniagaan takaful keluarga untuk tiga tahun berturut-turut dari 2011 hingga ke 2013, seperti yang telah disahkan oleh data-data dari Insurance Services Malaysia. Prestasi syarikat itu pada 31 Disember 2013 menunjukkan Pengeluaran Perniagaan Baru berjumlah RM269.2 juta dengan bahagian pasaran sebanyak 27.1%.

Anugerah The Asset Triple A adalah pengiktirafan terulung di Asia bagi menghargai keunggulan yang dicapai oleh institusi-institusi kewangan dan pemimpin-pemimpin industri. Tahun ini turut meraikan tahun ke-20 upacara ini berlangsung yang juga merupakan acara utama dalam kalendar acara Kewangan Islamik.

Back to Top