Prudential BSN Takaful

Pemahaman Asas Takaful

Semua yang anda perlu ketahui mengenai takaful.
Graf tentang proses Takaful asas

Soalan lazim mengenai takaful

1. Apa itu takaful?

Perkataan takaful berasal daripada perkataan asas Arab “kafala” yang bermaksud tanggungjawab, tanggungjawab bersama atau saling menjamin di antara satu sama lain.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam  (IFSA) 2013 mendefinisikan takaful sebagai suatu perkiraan yang berasaskan pertolongan secara bersama yang di bawahnya peserta takaful bersetuju untuk menyumbang kepada suatu kumpulan wang yang sama yang menyediakan manfaat kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta takaful itu atau kepada benefesiarinya pada masa berlaku sesuatu kejadian yang telah dipersetujui terdahulu.

2. Bagaimana pertolongan bersama diaplikasikan dalam takaful?

Pertolongan bersama dalam takaful merujuk kepada hubungan secara kontrak di antara peserta-peserta yang menyumbang ke dalam Dana Tabarru`. Ia diaplikasi apabila peserta takaful bersetuju untuk menyertai pelan takaful bersama-sama para peserta takaful yang lain dengan niat untuk membantu di antara satu sama lain sekiranya perlu. 

Sumbangan Tabarru`at (kebajikan) yang dibuat oleh peserta akan dikumpulkan di dalam Dana Tabarru` bersama-sama dengan sumbangan para peserta yang lain untuk manfaat kewangan bersama yang kena dibayar kepada peserta takaful itu atau kepada waris mereka pada masa berlaku sesuatu kejadian yang telah dipersetujui terdahulu berdasarkan manfaat takaful yang terdapat pada pelan tersebut.

3. Apakah aspek kebersamaan yang diwujudkan dalam takaful?

Terdapat tiga aspek kebersamaan yang diwujudkan dalam takaful, iaitu saling bekerjasama/membantu, saling bertanggungjawab dan saling melindungi daripada musibah. Takaful ialah satu sistem di mana peserta menyumbang ke dalam Dana Tabarru` dan berniat untuk saling menjamin di antara satu sama lain, seperti memberi pampasan kepada peserta yang dibebani dengan risiko tertentu. Fokus penyertaan adalah untuk menyumbang kepada Dana Tabarru` selari dengan prinsip saling membantu dan berkongsi tanggungjawab dalam kalangan peserta.

4. Bagaimana ia diaplikasikan?

Peserta bukan hanya memohon perlindungan untuk diri sendiri, tetapi juga bekerjasama dengan peserta takaful yang lain untuk saling membantu antara satu sama lain jika berlaku sebarang perkara yang tidak terduga.

Hubungan di antara para peserta dengan pengendali takaful biasanya dikawal oleh kontrak Wakalah (wakil) di mana pengendali takaful dilantik oleh peserta untuk mengurus pelan dan melaburkan dana itu sebagai pulangan kepada tugasan yang telah dijalankan. Ia adalah satu perniagaan komersial (takaful tijari) yang jelas dalam bentuk peraturan dan akauntabiliti. Sebagai pengurus dana, pengendali takaful menjalankan tanggungjawab fidusiari untuk memastikan pengurusan perniagaan dijalankan berdasarkan prinsip Syariah, undang-undang dan pengawalseliaan yang peruntukan.

5. Berapakah nilai perlindungan yang saya perlukan?

Ia bergantung pada kemampuan dan keperluan kewangan anda. Matlamat pelan ini adalah untuk mengurangkan beban anda dan keluarga anda sekiranya berlaku sebarang musibah. Anda boleh menggunakan aplikasi Analisis Keperluan kami untuk menilai perlindungan yang anda perlukan berdasarkan kemampuan anda.

6. Apakah pertimbangan penting sebelum menyertai pelan takaful keluarga?

Penyertaan dalam pelan takaful keluarga adalah komitmen jangka masa panjang. Ianya amat penting untuk anda menilai apa yang anda perlukan dan apa yang anda mampu bayar. Antara faktor yang perlu anda pertimbangkan termasuklah:

Keperluan Anda 
Pilihan yang anda buat untuk pelan jangka masa panjang mestilah berdasarkan hasil analisa keperluan anda sendiri. Anda perlu menyediakan penyata semua aset dan liabiliti, matlamat masa depan dan sebagainyakemudian tumpukan​ kepada jumlah yang anda ingin dilindungi.

Obligasi Risiko Anda 
Walaupun semua pelan Takaful keluarga melindungi kematian, ada pelan yang melindungi risiko spesifik, sebagai contoh, tahap awal penyakit kritikal, kematian akibat kemalangan, dan hilang upaya separa. Liabiliti seperti hutang dan pembiayaan perlu dibayar dalam suatu tempoh. Oleh itu, tempoh sijil anda seharusnya merangkumi jangka masa ini. Sebagai contoh, jika pembiayaan rumah anda memerlukan 15 tahun untuk diselesaikan, maka tempoh perlindungan seharusnya berterusan sekurang-kurangnya 15 tahun

Tanggungan dan Komitmen Anda 
Jika tanggungan anda masih mempunyai beberapa tahun sebelum mampu berdikari secara kewangan, tempoh tersebut boleh menjadi tempoh perlindungan anda. Peristiwa penting seperti perkahwinan atau kerjaya tetap seharusnya berada dalam tempoh tersebut untuk membolehkan keluarga anda menguruskan sebarang ketidakpastian kewangan.

Matlamat Kewangan Anda 
Ia boleh menjadi matlamat spesifik seperti peruntukan pusaka untuk anak anda atau menjelaskan gadai janji anda. Matlamat ini seharusnya mempunyai tempoh masa yang tetap.

Tahap Perlindungan Yang Anda Mahu 
Secara amnya ia adalah berdasarkan beberapa faktor, antaranya:

  • Berapa ramai tanggungan anda (cth: ibu bapa pesara, pasangan, anak)

  • Baki obligasi kewangan jangka panjang anda (cth: pembiayaan rumah, dana pendidikan)

  • Gaya hidup/standard kehidupan semasa anda

  • Simpanan dan aset pelaburan semasa anda

  • Unjuran kos perbelanjaan di masa depan berdasarkan penilaian matawang dan inflasi (cth: ijazah pendidikan di universiti swasta hari ini boleh meningkat 50% lebih tinggi di masa depan)

Kemampuan Bajet Anda 
Ia adalah amaun yang boleh anda ketepikan untuk takaful keluarga selepas ditolak perbelanjaan, komitmen dan simpanan. Pelan takaful bertempoh, yang melindungi untuk sejumlah tahun, seperti Pelan Lindungi kami, biasanya adalah alternatif yang lebih murah untuk individu yang baru melangkah ke alam dewasa dengan bajet yang terhad. Sekiranya anda juga ingin mengekalkangaya hidup semasa bersama orang yang tersayang, anda tidak perlu merancang untuk menyediakannya jika anda mendapati amaun sumbangan melebihi bajet anda. Jika anda tidak dapat meneruskan pembayaran sumbangan apabila tiba masanya, sijil Takaful anda boleh luput atau ditamatkan.

7. Apakah yang perlu saya tahu apabila saya mendapatkan pelan takaful Keluarga?

Fahami Produk Dengan Teliti 
Pastikan anda membaca dan memahami semua dokumen berkaitan produk seperti Ilustrasi Produk dan Helaian Maklumat Produk (yang boleh diperolehi dari Ejen Takaful anda) sebelum memberi komitmen untuk menyertai pelan Takaful keluarga.

Maklumkan Maklumat Yang Diperlukan 
Pengendali takaful telah meletakkan proses pengunderaitan untuk menentukan jenis risiko anda kepada syarikat takaful dan untuk membolehkan syarikat menentukan sama ada untuk menerima atau menolak risiko tersebut. Risiko kematian atau penyakit kritikal ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, jantina, gaya hidup, sejarah peribadi dan perubatan, pekerjaan dan sebagainya.

8. Apakah konsep syariah yang berkenaan?
  • Ta`awun – Persetujuan untuk saling membantu berdasarkan prinsip pertolongan bersama. Takaful adalah berdasarkan konsep Ta`awun seperti yang ditakrifkan oleh Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang bermaksud suatu persetujuan yang berdasarkan kepada pertolongan bersama di mana peserta-peserta takaful bersetuju untuk menyumbang ke dalam suatu dana yang akan memberi manfaat kewangan yang akan dibayar kepada peserta-peserta takaful atau kepada waris mereka sekiranya berlaku perkara-perkara yang telah dipersetujui terlebih dahulu. Merujuk kepada perkara di atas, sumbangan yang akan dimasukkan dan dikumpulkan ke dalam dana bersama iaitu Dana Tabarru` adalah Tabarru`at (kebajikan) secara alami.    
  • Wakalah bi al-ujrah Persetujuan di mana PruBSN dilantik untuk menguruskan perkhidmatan keseluruhan yang disediakan di bawah sijil takaful anda. Sebagai upah untuk perkhidmatan ini, kami berhak ke atas Caj-caj Wakalah. Selain daripada Caj-caj Wakalah, PruBSN juga layak menerima yuran prestasi di atas lebihan yang boleh diberikan daripada Dana Tabarru`.
  • Mudarabah – Persetujuan yang membenarkan kami melaburkan dana anda dari ISA di mana sebarang keuntungan dari pelaburan ini akan dikongsi di antara anda dan PruBSN mengikut nisbah perkongsian keuntungan yang ditetapkan. Jumlah pokok dan juga pulangan pelaburan adalah tidak dijamin.

  • Hibah – Hibah adalah pemberian. Di bawah pelan Takaful, PruBSN akan menyediakan Bonus EduAchieve sebagai Hibah yang dibayar daripada dana pemegang saham. Hibah adalah tertakluk pada syarat-syarat seperti yang dinyatakan di dalam dokumen sijil.

  • Sadaqah – Merujuk kepada beramal secara sukarela dengan memberi manfaat kepada yang lain. Persediaan sumbangan atau amal ini terpakai untuk rider Ihsan di mana jumlah tertentu dari sumbangan anda akan disalurkan ke Dana PruBSN Jariyah untuk membiayai sumbangan pelan Mikrotakaful bagi golongan miskin tegar dan keluarga miskin.

9. Claims
Mengenai Takaful

Majlis Penasihat Bank Negara Malaysia

Pusat rujukan Shariah bagi kewangan Islam.
Selanjutnya