Mulai 1 Ogos 2024, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (“LHDNM”) telah memulakan pelaksanaan e-Invois secara berperingkat, seperti yang diumumkan pada Oktober 2023. E-Invois membolehkan perniagaan menyedia dan mengemukakan invois secara elektronik kepada LHDNM, sejajar dengan inisiatif Kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur digital dan memodenkan pentadbiran cukai. Sistem baharu ini terpakai kepada semua pembayar cukai yang terlibat dalam aktiviti komersial di Malaysia, termasuk yang terlibat dalam pembekalan barang dan perkhidmatan.
Apakah itu e-Invois?
E-Invois ialah satu bentuk pengebilan elektronik atau invois cukai elektronik. E-Invois merupakan representasi dalam bentuk digital bagi transaksi antara penjual dan pembeli. Ia menggantikan penggunaan dokumen tradisional seperti invois, nota kredit, dan nota debit dalam bentuk kertas atau elektronik.
Mengenai Pelaksanaan e-Invois oleh Prudential BSN Takaful Berhad
Prudential BSN Takaful Berhad (“PruBSN”) tertakluk kepada pelaksanaan mandatori e-Invois bermula 1 Ogos 2024. Bagi memastikan peralihan dan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar, LHDNM telah bersetuju untuk memberikan tempoh kelonggaran interim selama tempoh enam bulan kepada pembayar cukai bermula dari tarikh pelaksanaan mandatori. Sepanjang tempoh ini, PruBSN telah melaksanakan pendekatan e-Invois dan e-Invois bil kendiri yang disatukan. Oleh itu, tiada e-Invois individu atau e-Invois bil kendiri individu yang dikeluarkan sepanjang tempoh kelonggaran interim ini.
Selepas tamat tempoh kelonggaran interim, PruBSN telah mula mengeluarkan e-Invois individu selaras dengan keperluan LHDNM bermula Februari 2025. Pelaksanaan ini dijalankan secara berfasa seperti berikut:
Fasa 1: E-Invois bil kendiri untuk tuntutan, pembayaran manfaat dan pembayaran pengagihan lebihan kepada pelanggan perniagaan telah bermula pada Mac 2025.
Fasa 2 : E-Invois bagi sumbangan takaful yang diterima oleh PruBSNtelah tersedia bermula Februari 2026, merangkumi pelanggan perniagaan dan bukan perniagaan.
Maklumat PruBSN bagi tujuan e-Invois
Berikut adalah butiran PruBSN yang diperlukan untuk tujuan e-Invois:
Nama Syarikat: Prudential BSN Takaful Berhad
Nombor Pendaftaran Perniagaan Baharu: 200601020898
Nombor Pengenalan Cukai (TIN): C12182632050
Nombor Pendaftaran Cukai Perkhidmatan (SST): W10-1808-31022227
Kod Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC): 65112
Penerangan Aktiviti Perniagaan: Takaful Keluarga
Untuk maklumat perhubungan berkaitan e-Invois seperti alamat pembeli, e-mel, dan nombor telefon, sila hubungi pegawai yang dilantik di PruBSN yang menguruskan pembelian barangan atau perkhidmatan anda.
Maklumat Pembekal dan Pelanggan
Proses e-Invois memerlukan maklumat mandatori tertentu daripada penjual dan pembeli. Kami mungkin akan menghubungi anda untuk mendapatkan butiran yang diperlukan. Untuk maklumat lanjut mengenai e-Invois, sila layari halaman Soalan Lazim Umum e-Invoice LHDNM.