Pilih bahasa anda
close

 

 

SIARAN MEDIA
Untuk siaran segera

PRUBSN EDAR PERLINDUNGAN TAKAFUL PERCUMA KEPADA ISI RUMAH KURANG BERKEMAMPUAN
Melindungi Keluarga yang Memerlukan di Malaysia Melalui PruBSN Prihatin

Kuala Lumpur, 12 November 2021 - Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin komited dalam meneruskan usaha untuk melindungi isi rumah miskin tegar di negara ini dengan menawarkan pelan PruBSN Microtakaful Jariyah secara percuma lebih kepada 12,000 penerima di kawasan Utara dan Pantai Timur. Berpegang kepada janji jenama ‘takaful untuk semua, untuk kehidupan’ dan misi mereka untuk membantu masyarakat memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan, inisiatif ini telah dilaksanakan dengan usaha sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

Mengulas mengenai peringkat akhir pengagihan pelan PruBSN Microtakaful Jariyah 2021 yang dilaksanakan pada bulan November ini, Presiden PruBSN Prihatin, Encik Wan Saifulrizal Wan Ismail menyatakan bahawa PruBSN Prihatin sentiasa meletakkan komitmen yang tinggi dalam memainkan peranan sosial terhadap komuniti, lebih-lebih lagi buat mereka yang kurang berkemampuan. “Sebagai pengendali takaful keluarga no. 1 di Malaysia, kami menzahirkan sokongan kepada golongan yang kurang bernasib baik dengan menyediakan perlindungan kewangan kepada mereka melalui PruBSN Microtakaful Jariyah. Di samping itu, kepentingan inisiatif ini adalah amat jelas lebih-lebih lagi semasa era pandemik, oleh itu kami memutuskan untuk meningkatkan usaha dengan penambahan 3,000 penerima baharu berbanding tahun 2020, iaitu sebanyak 28,000 penerima.”

Memasuki tahun keempat, PruBSN Prihatin menyediakan pelan microtakaful kepada komuniti terjejas di seluruh negara yang dibiayai oleh dana zakat PruBSN tanpa sebarang kos. Pelan ini menawarkan perlindungan takaful asas percuma selama 12 bulan kepada ketua isi rumah terpilih. Bantuan kewangan sebanyak RM10,000 akan disalurkan terus ke dalam akaun bank penama, sekiranya ketua keluarga meninggal dunia. Pemilihan penerima program ini dikawal selia oleh ICU JPM, sebuah agensi kerajaan yang ditugaskan untuk menguruskan Sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional, eKasih. Sistem eKasih berfungsi untuk membantu dalam merancang, melaksana dan memantau program-program kemiskinan di peringkat nasional.

“PruBSN Microtakaful Jariyah ini dijangka dapat mengurangkan beban kewangan yang dihadapi kebanyakan isi rumah berpendapatan rendah apabila mereka kehilangan pencari nafkah utama. Sejumlah RM2.24 juta telah diperuntukkan oleh PruBSN Prihatin pada tahun ini. Sejak pelancarannya pada tahun 2018, kami telah memanfaatkan lebih 78,000 keluarga yang berpendapatan rendah. Melalui inisiatif ini, kami ingin menyatakan komitmen kami terhadap kesejahteraan masyarakat dan akan terus melakukan perubahan,” tambah Encik Wan Saifulrizal.

YBhg. Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi, Ketua Pengarah ICU JPM berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat sivil untuk sama-sama menggembleng tenaga dalam menyokong usaha kerajaan dalam memberikan bantuan kewangan kepada golongan miskin tegar selaras dengan hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar pada taun 2025. “Kerjasama strategik dalam bentuk bantuan kewangan, perlindungan sosial, atau melalui bantuan dalam bentuk barangan adalah amat disyorkan. Kerjasama antara agensi ini adalah penting untuk mengecilkan jurang kemiskinan dari segi sosial, kewangan dan kesejahteraan masyarakat Malaysia. Kami amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif ini bersama PruBSN dan berharap dapat terus bekerjasama pada masa hadapan,” tambahnya.

PruBSN Microtakaful Jariyah adalah program komuniti teras yang terbesar yang melibatkan penerima dari seluruh negara. Dilaksanakan secara berperingkat, pelan PruBSN Microtakaful Jariyah 2021 diperuntukkan kepada 28,000 penerima dari Zon Tengah (Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka, Johor), Zon Utara (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Zon Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) serta Sabah dan Sarawak. Pada bulan Mac dan Ogos tahun ini, seramai 15,938 ketua isi rumah terpilih daripada kumpulan yang bependapatan rendah dari Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak adalah sebahagian daripada penerima agihan tersebut.

Dapatkan maklumat lanjut mengenai PruBSN Prihatin dan PruBSN di laman sesawang https://www.prubsn.com.my/ms/