Inilah masanya untuk mengemas kini butiran kad pembayaran anda
Sekiranya anda baru memperbaharui kad debit anda, sila kemas kini untuk memastikan anda dan orang tersayang anda dilindungi oleh sijil takaful secara berterusan

Pilih bahasa anda
close

 

 

 

SIARAN MEDIA
Untuk penerbitan serta-merta

BSN TAKAFUL SAKINAH MEMBANTU LEBIH RAMAI RAKYAT MALAYSIA MENDAPATKAN PELAN PERLINDUNGAN ASAS
Satu Pelan Perlindungan daripada Prudential BSN Takaful Berhad dan Bank Simpanan Nasional

Kuala Lumpur, 7 Mei 2021 – Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), pengendali takaful utama di Malaysia, bersama-sama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) telah melancarkan pelan perlindungan baharu, BSN Takaful Sakinah. Diperkenalkan sebagai ‘Pelan Perlindungan Pertama’, PruBSN dan BSN bekerjasama untuk menyediakan pelan perlindungan yang mampu milik dengan akses mudah untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengurangkan beban kewangan pada waktu mereka memerlukannya.

Dalam ucapan sempena pelancaran tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Encik Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata bahawa pelan perlindungan ini akan meningkatkan kadar penembusan insurans dan takaful
di Malaysia. “Adalah amat penting untuk lebih ramai individu memiliki pelan perlindungan sebagai persediaan sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka. BSN Takaful Sakinah diperkenalkan sebagai “Pelan Perlindungan Pertama”, yang dihasilkan khas untuk membantu komuniti mengurangkan beban kewangan terhadap orang yang tersayang jika berlaku musibah kematian terhadap peserta. Dengan pelan perlindungan baharu yang dilancarkan bersama pihak BSN ini, kami berada pada landasan yang tepat dalam misi kami untuk menyediakan perlindungan kewangan yang mampu milik dengan akses mudah kepada lebih ramai rakyat Malaysia.”

BSN Takaful Sakinah merupakan pelan yang boleh diperbaharui secara tahunan dengan perlindungan selama 12 bulan dan ia juga adalah produk patuh Syariah yang mana peserta harus mempunyai akaun simpanan BSN untuk membolehkan mereka membuat pendaftaran. Pelan ini menawarkan perlindungan untuk musibah kematian sama ada atas sebab semula jadi atau kematian akibat kemalangan dengan manfaat Khairat sehingga RM3,500. Pelan mampu milik dengan pendaftaran mudah ini tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan, dan terbuka untuk mereka yang berumur antara 19 sehingga 50 tahun. Terdapat 3 pilihan pelan perlindungan dengan bayaran tahunan sebanyak RM55, RM110 atau RM165 yang akan ditolak daripada akaun bank peserta. Tuntutan perlindungan bagi kematian atas sebab semula jadi bermula daripada RM10,000 sehingga RM30,000 manakala untuk kematian yang diakibatkan oleh kemalangan, ia boleh mencecah sehingga RM60,000. Bagi mereka yang berminat untuk melanggan pelan perlindungan ini, mereka boleh berkunjung terus ke cawangan BSN yang terdekat mulai 7 Mei 2021 atau mendaftar secara layan diri melalui laman sesawang BSN, yang akan diumumkan kelak.

“Kami di PruBSN sentiasa berinovasi dalam menyediakan perkhidmatan yang memudahkan kehidupan anda. Secara ringkas, pelan perlindungan patuh Syariah ini dilancarkan untuk membantu rakyat Malaysia memanfaatkan yang terbaik dalam kehidupan. Dengan menjadikan pelan perlindungan mampu milik dengan akses mudah ini sebagai langkah pertama, kami berharap lebih ramai individu akan mengambil peluang ini untuk membuat persediaan dalam menghadapi perkara atau situasi yang tidak dijangka,” kata Encik Wan Saifulrizal.

Ketua Eksekutif BSN, Encik Jay Khairil Jeremy Abdullah yang juga hadir pada majlis pelancaran tersebut berkata, “Pelan perlindungan baharu ini amat bertepatan dengan visi kami dalam memastikan tiada rakyat Malaysia yang ketinggalan. Adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui jaringan rangkaian yang luas dengan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan. Pelan ini menyasarkan lebih banyak penyertaan daripada kumpulan komuniti B40 untuk membolehkan mereka mendapatkan perlindungan takaful dengan kadar sumbangan yang berpatutan.” Beliau juga berkata bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperkenalkan satu inisiatif iaitu ‘Perlindungan Tenang’ yang disokong sepenuhnya oleh BSN.

Untuk maklumat lanjut tentang Takaful Sakinah BSN, sila layari
https://www.bsn.com.my/PersonalBanking/WealthManagement/bsn-takaful-sakinah