Bachok, Kelantan, 28 Februari 2019 – Pada Mac 2018, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan kebajikan bukan berasaskan keuntungan, PruBSN Prihatin, dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan PruBSN Microtakaful Jariyah iaitu program pertama seumpamanya di negara ini yang menyediakan perlindungan asas takaful keluarga bertempoh 12 bulan untuk ketua isi rumah dalam golongan berpendapatan rendah (B40) yang terpilih dan layak secara percuma.
Seramai 12,500 ketua isi rumah di seluruh negara telah dikenalpasti daripada pangkalan data kemiskinan eKasih yang diselaraskan oleh ICU. Melalui program ini, penama akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM10,000 sekiranya berlaku kematian kepada ketua keluarga/pencari nafkah. Bantuan ini sekaligus dapat membantu keluarga menghadapi situasi kewangan akibat kehilangan ketua keluarga secara mendadak dan meneruskan kehidupan mereka.
Susulan daripada pelancaran program itu pada Mac 2018, PruBSN dan ICU telah menganjurkan sesi penyerahan tuntutan kepada tiga penama yang telah kehilangan ketua keluarga, disusuli dengan sesi agihan dan taklimat kepada 748 penerima manfaat di Bachok yang merupakan sebahagian daripada 8,600 penerima yang layak untuk rantau Pantai Timur. Proses pengagihan telah dilaksanakan di rantau Sentral, Utara dan Selatan antara Mac hingga Disember tahun lalu dan akan diakhiri dengan rantau Pantai Timur pada Mac tahun ini.
Nor Azman Zainal, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN mengulas, "Golongan miskin dan miskin tegar adalah kumpulan-kumpulan yang paling terjejas apabila ketua isi rumah ditimpa musibah. Kepantasan menyediakan bantuan kewangan amat penting kepada golongan ini kerana sumber kewangan mereka yang sangat terhad dan kebergantungan hidup mereka terhadap satu sumber pendapatan sahaja. Ini bertambah penting apabila pencari nafkah meninggal dunia.”
PruBSN Mikrotakaful Jariyah merupakan produk yang ringkas dan mudah, di mana tiada pengunderaitan diperlukan bagi membolehkan perlindungan takaful diaplikasikan dan proses tuntutan dibuat dengan lebih pantas. Bayaran tuntutan akan dipindahkan terus ke akaun bank penama melalui sistem e-perbankan bagi mempercepatkan perkhidmatan kepada keluarga ketika mereka amat memerlukannya. Talian khas turut disediakan bagi memudahkan penerima dan penama membuat sebarang pertanyaan dan permohonan tuntutan iaitu di talian PruBSN Prihatin 03-20531199 atau Unit Mikrotakaful di 03-20531155. Pertanyaan dan permohonan tuntutan juga boleh dibuat melalui e-mel di microtakaful@prubsn.com.my atau prubsnprihatin@prubsn.com.my.
"Program ini adalah komitmen kami dalam membantu mengurangkan beban isi rumah golongan kurang berkemampuan. Kami cukup berbangga kerana berpeluang melancarkan program ini sejak tahun lalu yang bertepatan dengan matlamat kami untuk membantu merapatkan jurang perlindungan takaful di negara ini. Kami yakin bantuan ini mampu menyediakan landasan kepada golongan B40 ini untuk meneruskan kehidupan mereka dan menyokong moral mereka untuk kembali mencapai matlamat hidup mereka.” tambah Nor Azman.
Bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai akses segera kepada bantuan kewangan, PruBSN kini menawarkan pelan Ihsan rider bersama PruBSN AnugerahPlus, pelan perlindungan patuh syariah terbarunya yang mampu dimiliki dan mudah diubah suai. Melalui Ihsan rider, para pelanggan boleh membuat bayaran sumbangan serendah RM5 setiap bulan sahaja dan bantuan ini akan disalurkan kepada lebih ramai keluarga-keluarga miskin tegar untuk mereka memiliki PruBSN Mikrotakaful Jariyah.
Sila layari www.prubsn.com.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif PruBSN Mikrotakaful Jariyah dan Ihsan rider PruBSN AnugerahPlus.
Mengenai Prudential BSN Takaful Berhad
Ditubuhkan pada 2006 melalui lesen oleh Bank Negara Malaysia, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) adalah hasil usaha sama antara Bank Simpanan Malaysia dan Prudential plc di UK; dua buah syarikat dengan prestasi kewangan yang kukuh dalam bidang kepakaran mereka masing-masing. Hari ini, PruBSN merupakan pengendali takaful terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan kewangan untuk rakyat Malaysia serta keluarga mereka.
PruBSN mempunyai lebih 16,000 perunding takaful yang berkhidmat untuk 850,000 pelanggan dengan pelbagai anugerah dan pencapaian pertama dalam industri takaful tempatan. Selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2011, PruBSN merupakan Pengendali Takaful Keluarga Nombor 1 di Malaysia. Perkembangan pesat ini adalah hasil daripada pendekatan mesra pelanggan, strategi saluran pengedaran pelbagai, penyelesaian inovatif serta kepimpinan teknologi.
Berpandukan proposisi ‘Takaful Untuk Semua. Untuk Kehidupan’, PruBSN berusaha membina impak yang kukuh dan berkekalan bagi membangunkan Malaysia melalui perlindungan kekayaan dan pelaburan dalam pasaran modal, di samping menunaikan visi untuk menjadi pengendali takaful pilihan pertama masyarakat dan komuniti.
Mengenai PruBSN Prihatin
PruBSN Prihatin adalah badan amal yang bukan berasaskan keuntungan bagi PruBSN. Dilancarkan pada tahun 2015, penubuhan PruBSN Prihatin berfungsi sebagai satu platform yang menyatukan kesemua inisiatif tanggungjawab sosial korporat dan zakat bagi merealisasikan matlamat utamanya ‘Melakukan Perubahan Untuk Semua’ untuk membawa perubahan kepada komuniti-komuniti yang dibantu.
PruBSN Prihatin menyediakan keperluan asas, penajaan pendidikan dan bantuan bencana bagi keluarga dan masyarakat yang kurang bernasib baik di seluruh Malaysia. Usaha-usaha ini adalah selaras dengan agenda nasional untuk membolehkan peluang yang saksama untuk semua rakyat Malaysia dan menyediakan jaringan keselamatan sosial untuk golongan yang kurang bernasib baik.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Hafiz Felani
Penjenamaan & Komunikasi
(603) 2053 1037
hafiz.felani@prubsn.com.my
Rina Ali
Penjenamaan & Komunikasi
(603) 2053 1160
wan.madzrina@prubsn.com.my