KENYATAAN MEDIA
Untuk penerbitan serta-merta
Prudential BSN Takaful mengagihkan 12,000 pelan perlindungan mikrotakaful kepada keluarga berstatus miskin di zon Utara dan Pantai Timur
Kuala Lumpur, 24 November 2020 – Berdasarkan kepentingan keperluan perlindungan takaful khususnya semasa menghadapi pandemik COVID-19, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) melalui badan amalnya, PruBSN Prihatin dengan usaha sama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) meneruskan usaha murni dengan mengagihkan pelan PruBSN Microtakaful Jariyah kepada 12,000 keluarga di tujuh buah negeri di Zon Utara dan Pantai Timur pada 1 November 2020. Aktiviti ini merupakan tindakan susulan kepada pengagihan peringkat awal yang telah dilaksanakan pada bulan Mac dan Ogos tahun ini dimana ia telah melindungi 11,034 keluarga di zon Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak.
PruBSN Microtakaful Jariyah yang telah dilancarkan pada 2018, merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang menyediakan perlindungan asas takaful selama 12 bulan kepada ketua isi rumah (KIR) golongan miskin yang terpilih secara percuma. Melalui inisiatif ini, penama akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM10,000 sekiranya berlaku kematian kepada ketua keluarga, yang akan disalurkan terus ke akaun bank penama. Ketua keluarga yang layak telah dikenal pasti daripada pangkalan data kemiskinan nasional iaitu Sistem eKasih di bawah seliaan ICU JPM.
Pada tahun 2018, pelan PruBSN Microtakaful Jariyah ini telah diserahkan kepada 12,500 penerima di Semenanjung Malaysia. Jumlah ini meningkat kepada 13,027 pada tahun 2019, yang turut merangkumi 1,885 penerima awal di negeri Sabah. Tahun ini, PruBSN menyasarkan sebanyak 25,000 penerima secara keseluruhan menjelang akhir Disember ini dan setakat ini, 22,228 keluarga telah menerima perlindungan takaful secara percuma sejak ia dilancarkan dengan baki sebanyak 2,772 buah keluarga di Sabah dan Sarawak yang bakal menerimanya pada 1 Disember 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Encik Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, “Kami memahami kesusahan yang dialami oleh golongan berpendapatan rendah terutamanya jika mereka kehilangan tempat bergantung. Selaku sebuah organisasi yang prihatin, kami bertindak untuk menyediakan bantuan kewangan ke seluruh negara dan bermula tahun ini, kami telah melebarkan sayap untuk membantu komuniti di kawasan Sabah dan Sarawak. Ini sejajar dengan objektif PruBSN Microtakaful Jariyah, untuk menyediakan akses kepada produk takaful khususnya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) tanpa sebarang kos.” Beliau juga berkata, “Seiring dengan janji kami 'Untuk Semua, Untuk Kehidupan', kami berusaha untuk memastikan peluang saksama untuk mendapat perlindungan perubatan mahupun kewangan dengan rangkaian produk dan perkhidmatan kami. Inisiatif ini pastinya membantu mengurangkan beban kewangan individu dan keluarga mereka dalam jangka masa panjang dan ia juga akan menjadi landasan untuk kami berbakti untuk meningkatkan tahap sosioekonomi.”
Antara penerima pelan PruBSN Microtakaful Jariyah, Encik Ezani bin Yasin dari Kelantan menyatakan rasa terima kasih kerana terpilih sebagai penerima pelan microtakaful pada tahun ini. “Saya rasa bersyukur kerana kebajikan keluarga saya akan terjaga melalui program ini, memandangkan saya tidak mampu untuk melanggan pelan takaful disebabkan pendapatan bulanan yang tidak menentu.” Sementara itu, Puan Faridah binti Ghani dari Pulau Pinang berasa gembira setelah menerima pelan perlindungan takaful untuk keluarganya. “Sebagai ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak, masalah kewangan adalah isu yang sentiasa dihadapi memandangkan pendapatan saya hanya mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sahaja. Saya berterima kasih kepada PruBSN kerana membantu dan memahami keperluan kami dan kini kewangan kami dilindungi melalui plan perlindungan ini.”
Program ini sebahagian besarnya dibiayai oleh dana zakat PruBSN Prihatin. Bagi membolehkan lebih ramai penerima menikmati manfaat PruBSN Microtakaful Jariyah, PruBSN turut menjana dana melalui kutipan derma daripada warga kerjanya menerusi program Giving at Workplace, serta para ejen melalui kempen One Donation One Family. Para pelanggan dan orang ramai juga boleh menghulurkan bantuan mereka dengan melanggan pelan Ihsan rider yang ditawarkan bersama pelan PruBSN AnugerahPus, PruBSN WarisanPlus serta PruBSN Aspirasi.
Dapatkan maklumat lanjut mengenai PruBSN Microtakaful Jariyah di http://www.prubsn.com.my/ms/our-company/caring-for-society/.