Adakah saya layak di bawah Langkah-Langkah Interim BNM ini?
Langkah-langkah ini terpakai kepada pemegang sijil yang terjejas oleh semakan perubatan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2024. Pek pemberitahuan yang dikemas kini yang memperincikan caj sumbangan baru akan dikeluarkan. Ketahui lebih lanjut.

Pilih bahasa anda
close

Memahami Semakan Pelan Perubatan

Kadar premium insurans semakin meningkat dari setahun ke setahun. Izinkan kami membantu anda memahami mengapa berlakunya demikian dan apa yang boleh anda lakukan tentangnya.

Apa itu Semakan Pelan Perubatan?

Semakan pelan perubatan ialah pelarasan premium polisi insurans disebabkan inflasi perubatan. Ini seringkalinya disebabkan oleh beberapa faktor seperti peningkatan dalam penyakit tidak berjangkit, peningkatan penggunaan perkhidmatan kesihatan dan kemajuan dalam teknologi perubatan.

Kami memahami bahawa hidup ini tidak dapat diramalkan dan kesihatan amat bernilai. Itulah sebabnya kami mengambil langkah proaktif untuk melindungi perlindungan perubatan jangka panjang anda dan kami komited untuk memastikan keperluan perubatan anda sentiasa diutamakan.  Demi menjamin perlindungan berterusan untuk anda, kami sentiasa menilai pelan perubatan kami supaya sejajar dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan semasa melalui semakan perubatan.

Apa yang perlu saya ketahui?

Mengapakah sumbangan dan / atau potongan Tabarru` saya disemak semula?

Prinsip asas Takaful adalah bantuan bersama di mana semua peserta mengumpulkan sumbangan mereka ke dalam Dana Tabarru` untuk membayar tuntutan, termasuk pembayaran tuntutan perubatan.

Disebabkan peningkatan kos penjagaan kesihatan dan inflasi perubatan yang mengakibatkan peningkatan kepada tuntutan bagi portfolio perubatan, PruBSN melaksanakan Semakan Semula Perubatan ini untuk memastikan Dana Tabarru` terus mencukupi untuk menampung tuntutan pada masa hadapan untuk pelanggan kami. Kami akan sentiasa menilai kesan terhadap kos penjagaan kesihatan dan inflasi perubatan dan mungkin akan menjalankan semakan semula ini pada setiap tahun untuk memastikan kemampanan Dana Tabarru` yang berterusan.

Sumbangan dan / atau potongan Tabarru` untuk pelan perubatan saya baru sahaja disemak semula tahun lepas. Mengapakah ia disemak semula lagi pada tahun ini?

Setiap tahun, kami menilai tahap tuntutan portfolio perubatan kami dalam menjalankan amanah kami untuk menguruskan Dana Tabarru`. Peningkatan dalam kos dan keperluan pelan perubatan adalah sebab utama terjadinya peningkatan dalam jumlah tuntutan. Penilaian tahunan ini adalah perlu untuk memastikan kemampanan Dana Tabarru` yang berterusan untuk membayar keperluan perubatan anda.

Sebagai sebahagian daripada komitmen kami kepada anda, kami sentiasa bekerjasama dengan penyedia penjagaan kesihatan dan pihak berkepentingan yang lain dalam usaha untuk mengawal kos perubatan dengan lebih berkesan. Kos perubatan, bagaimanapun, telah meningkat lebih cepat daripada yang dijangkakan dan telah memberi kesan kepada kemampanan Dana Tabarru` untuk jangka panjang. Kami menilai keperluan untuk membuat pelarasan secara berkala dan disebabkan ini, terdapat keperluan untuk kami menyemak semula potongan Tabarru` bagi pelan perubatan anda sekali lagi pada tahun ini.

Apakah perbezaan antara sumbangan dan potongan Tabarru`?

Sumbangan adalah amaun yang anda bayar untuk manfaat asas dan manfaat tambahan (jika ada) sijil anda.

  • Bagi sijil Takaful yang berkaitan pelaburan, sebahagian daripada sumbangan anda digunakan untuk membayar caj Wakalah pendahuluan bagi komisen ejen perkhidmatan anda atau wakil Bank / PruBSN, dan perbelanjaan pengagihan yang berkaitan, di mana bakinya digunakan untuk membeli unit-unit di dalam dana berkaitan pelaburan dan untuk potongan Tabarru`.

  • Bagi sijil Takaful yang bukan berkaitan pelaburan, sebahagian daripada sumbangan anda digunakan untuk membayar caj Wakalah pendahuluan bagi komisen ejen perkhidmatan anda atau wakil Bank / PruBSN, di mana bakinya diperuntukkan dalam akaun peserta anda untuk potongan Tabarru`.

Potongan Tabarru` adalah aturan di mana sebahagian daripada sumbangan anda yang diperuntukkan dalam dana berkaitan pelaburan / akaun peserta akan dipotong dan dikumpulkan ke dalam Dana Tabarru` bagi tujuan bantu-membantu mengikut manfaat yang dipersetujui berdasarkan pelan tersebut. Secara amnya, amaun potongan Tabarru` adalah berbeza mengikut umur dan ia akan meningkat apabila Orang yang Dilindungi semakin berusia.

Saya tidak pernah membuat sebarang tuntutan. Mengapakah sumbangan dan / atau potongan Tabarru` saya disemak semula?

Takaful adalah berdasarkan konsep bantuan bersama dalam kalangan peserta. Potongan Tabarru` dikumpulkan untuk membayar tuntutan pada masa hadapan. Semakan ke atas potongan Tabarru` diperlukan untuk memastikan kemampanan Dana Tabarru` berikutan daripada peningkatan kos penjagaan kesihatan, yang akan dikongsi bersama di kalangan para peserta Dana Tabarru` dan akan digunapakai ke atas semua sijil dengan pelan perubatan yang serupa tanpa mengira sejarah tuntutan individu.

Adakah sumbangan dan potongan Tabarru` untuk pelan perubatan saya dijamin?

Sumbangan dan potongan Tabarru` untuk pelan perubatan kami adalah tidak dijamin, seperti yang dinyatakan dalam dokumen-dokumen produk, illustrasi produk, dan dokumen sijil. Kami boleh menyemak semula sumbangan dan potongan Tabarru` dengan syarat notis diberikan terlebih dahulu kepada para peserta (mengikut tempoh notis yang dinyatakan dalam dokumen sijil).

Mengapakah saya perlu membayar sumbangan tambahan / sumbangan tambahan berkala yang disyorkan?

Sumbangan tambahan / sumbangan tambahan berkala adalah perlu untuk menampung peningkatan potongan Tabarru` pelan perubatan anda. Dengan peningkatan potongan Tabarru`, lebih banyak unit / jumlah yang lebih tinggi akan ditolak daripada nilai akaun sijil anda. Anda dinasihatkan untuk membayar sumbangan tambahan / sumbangan tambahan berkala untuk menikmati perlindungan perubatan yang berterusan.

Kesan jika tidak membayar sumbangan tambahan / sumbangan tambahan berkala yang disyorkan selepas Semakan Semula Perubatan: Ada kemungkinan bahawa sijil anda luput lebih awal daripada jangkaan. Apabila sijil luput, perlindungan anda akan terhenti. Jika anda memutuskan untuk menguatkuasakan semula sijil atau menyertai pelan perubatan yang baharu, anda akan tertakluk kepada perakuan kesihatan atau mungkin perlu untuk dinilai / diunderait semula. Ini mungkin menyebabkan anda perlu membayar sumbangan yang lebih tinggi dan tertakluk kepada terma dan syarat lain seperti tempoh menunggu.

Adakah terdapat sebarang perubahan kepada manfaat perlindungan saya selepas Semakan Semula Perubatan?

Selain daripada semakan semula seperti yang dinyatakan di atas, perlindungan manfaat Contributor yang dilampirkan pada sijil akan turut meningkat, bagi menampung peningkatan sumbangan. Semua perlindungan dan manfaat lain di bawah sijil akan kekal tidak berubah.

Adakah terdapat peningkatan dalam nilai akaun sijil saya kerana saya membayar lebih banyak sumbangan?

Kesan ke atas nilai akaun sijil adalah minimum kerana sumbangan tambahan tersebut akan digunakan untuk menampung kenaikan potongan Tabarru`.

Adakah kadar kenaikan sumbangan dan potongan Tabarru` tetap bagi semua sijil?

Kadar kenaikan sumbangan dan potongan Tabarru` adalah tidak tetap bagi semua sijil kerana ia berbeza bergantung kepada syarat-syarat sijil sedia ada, jenis pelan perubatan, umur, jantina, jenis pekerjaan orang yang dilindungi dan lain-lain.

Adakah semakan perubatan ini didorong oleh keperluan pengawalselia?

Semakan Semula Perubatan ditadbir di bawah pendekatan berstruktur dan objektif untuk memastikan kemampanan Dana Tabarru` yang berterusan supaya pelanggan terus dilindungi ketika diperlukan. Ini adalah keputusan komersial yang dilaksanakan oleh PruBSN setelah mengambil kira pengalaman tuntutan semasa dan kenaikan kos perubatan yang dijangka pada masa hadapan.

Apakah pilihan yang tersedia untuk saya selain meningkatkan sumbangan saya?

Anda boleh menyemak pelan perubatan anda untuk menjadikannya lebih selaras dengan kemampuan kewangan anda. Senarai di bawah adalah beberapa pilihan yang anda boleh pertimbangkan:

Pilihan

Butiran

Pilihan Pembayaran Bersama

Kurangkan jumlah sumbangan anda dengan bertukar kepada pilihan pembayaran bersama yang lain (seperti SmartSaver300 atau SmartSaver1000), sekiranya terpakai kepada pelan perubatan anda.

Pelan Perlindungan Lebih Rendah

Semak semula pelan bilik & penginapan (R&B) ke pelan R&B yang lebih rendah (jika berkenaan). Pastikan ia masih memenuhi keperluan perlindungan perubatan anda.

Bertukar Pelan (jika ada)

Pertimbangkan untuk bertukar kepada pelan perubatan terkini yang tersedia di bawah sijil yang sama untuk perlindungan yang lebih komprehensif.

Menyemak Semula Manfaat Semasa

Nilaikan manfaat-manfaat sijil anda mengikut keperluan perlindungan semasa dan bersesuaian dengan kemampuan anda. Ambil maklum bahawa sebarang perubahan akan memberi kesan kepada perlindungan anda.

Menukar Tempoh Perlindungan Sasaran (untuk sijil Berkaitan Pelaburan sahaja)

Pendekkan tempoh perlindungan sasaran agar sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda. Ambil perhatian bahawa perubahan ini boleh menjejaskan keupayaan sijil untuk mengekalkan potongan Tabarru` sehingga umur tamat tempoh yang dipilih.


Nota Penting: Sila hubungi ejen perkhidmatan anda atau wakil Bank / PruBSN untuk membincangkan pilihan ini dengan teliti dan memastikan pilihan tersebut sesuai dengan keperluan perlindungan dan kewangan anda.

Bagaimanakah perlindungan tambahan untuk “sebarang penyakit berjangkit yang memerlukan kuarantin di sisi undang-undang” yang telah saya terima sebelum ini memberi kesan terhadap semakan semula sumbangan dan potongan Tabarru` saya?

Seperti yang dimaklumkan semasa penerimaan anda untuk tidak mengambil kira klausa pengecualian tersebut, kami akan mengambil kira perlindungan tambahan ini apabila kami menjalankan semakan kadar sumbangan dan jumlah potongan Tabarru`. Berkuat kuasa 1 Januari 2025, potongan Tabarru` akan dicaj secara berasingan di antara sijil yang mengandungi dan tidak mengandungi perlindungan tambahan untuk memastikan keadilan kepada semua peserta Dana Tabarru`.

Sekiranya pelan perubatan bilik & penginapan (R&B) sedia ada saya adalah Pelan 200, adakah saya boleh menukar pelan tersebut untuk membayar sumbangan yang lebih rendah?

Ya, anda boleh menukar Pelan 200 sedia ada anda ke pelan R&B yang lebih rendah (jika ada), untuk memenuhi keperluan perlindungan dan kewangan anda.

Sekiranya pelan perubatan sedia ada saya adalah pelan R&B yang terendah (sebagai contoh Pelan 100 atau Pelan 150, bergantung kepada pelan perubatan tersebut), apakah pilihan yang ada untuk saya?

Jika pelan sedia ada anda ialah pelan Perlindungan Penuh atau Zero Deduktibel, anda boleh mempertimbangkan untuk menyemak semula pelan perubatan anda kepada pilihan pembayaran bersama yang lain seperti pelan Ko-Takaful, SmartSaver atau Deduktibel (jika berkenaan).

Anda juga boleh bertukar kepada pelan perubatan lain yang tersedia di bawah sijil yang sama (jika ada) atau menyemak manfaat sijil semasa anda dengan ejen perkhidmatan anda atau wakil Bank / PruBSN untuk mengetahui pilihan yang menepati keperluan perlindungan dan kemampuan anda.

Saya telah menyertai beberapa pelan Takaful, mengapakah saya menerima surat pemberitahuan saya pada tarikh yang berbeza?

Semakan sumbangan dan / atau potongan Tabarru` berkuat kuasa pada tarikh ulang tahun sijil. Surat pemberitahuan disediakan sekurang-kurangnya tiga puluh (30) / sembilan puluh (90) hari sebelum tarikh ulang tahun sijil, bergantung kepada jenis pelan perubatan.

Memahami Inflasi Perubatan

Memahami Peranan Anda sebagai Pengguna Perkhidmatan Kesihatan

Apakah itu Pertolongan Bersama?