Kuala Lumpur, 15 Oktober 2024 – Sebagai sebahagian daripada strategi kelestariannya, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), pengendali Takaful keluarga terkemuka di Malaysia, telah berganding bahu dengan Waqaf An-Nur Corporation Berhad (“Waqaf An-Nur”) untuk melancarkan An-Nur Care, satu inisiatif perintis yang akan menyediakan perlindungan perubatan pesakit luar secara percuma kepada lebih 500 individu dari komuniti Asnaf.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Morbiditi dan Kesihatan (NHMS) 2023, 61.5% rawatan pesakit luar dibayar sendiri oleh pesakit atau ahli keluarga mereka dan sekitar 12.9% rakyat Malaysia tidak mendapatkan rawatan perubatan disebabkan kekangan kewangan.
Ini menunjukkan bahawa akses kepada penjagaan kesihatan masih merupakan salah satu cabaran terbesar bagi keluarga berpendapatan rendah, terutamanya di kalangan segmen terpinggir seperti golongan Asnaf. An-Nur Care bertujuan untuk merapatkan jurang ini dengan menawarkan perlindungan perubatan asas iaitu konsultasi dan rawatan oleh Pegawai Perubatan Am selama dua belas bulan dengan had tahunan keseluruhan sebanyak RM 300. Inisiatif ini mencerminkan komitmen PruBSN dan Waqaf An-Nur bukan sahaja untuk memberikan bantuan segera tetapi juga untuk memacu perubahan positif jangka panjang dalam komuniti.
An-Nur Care merupakan antara teras utama dalam rangka kerja kelestarian PruBSN yang menyeluruh, dengan fokus kepada membina komuniti yang lebih kukuh dan berdaya tahan melalui akses kesihatan yang saksama. Program ini mewakili langkah utama dalam usaha kelestarian PruBSN untuk menangani kemampuan penjagaan kesihatan di Malaysia. Dengan bergabung tenaga bersama Waqaf An-Nur, mereka mewujudkan inisiatif yang memberi impak dan memastikan penjagaan kesihatan bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi merupakan hak untuk semua.
“Kerjasama kami dengan Waqaf An-Nur didorong oleh komitmen bersama terhadap pembangunan lestari. Misi PruBSN sentiasa tertumpu kepada memperkasakan individu dan komuniti dengan menyediakan perlindungan untuk semua. Melalui An-Nur Care, kami meneguhkan komitmen kami untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan diperluaskan kepada mereka yang paling memerlukan,” kata Wan Saifulrizal Wan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN. “Strategi kelestarian kami bukan sahaja tertumpu kepada tanggungjawab terhadap alam sekitar; ia juga bertujuan membangunkan masyarakat di mana kestabilan kewangan dan sosial boleh dicapai oleh semua lapisan masyarakat, termasuk yang paling berisiko.”
Inisiatif An-Nur Care lebih daripada sekadar intervensi sahaja. Ia sejajar dengan matlamat jangka panjang kedua-dua organisasi untuk mewujudkan penyelesaian penjagaan kesihatan yang lestari. Dengan menyediakan akses penjagaan kesihatan kepada mereka yang mungkin dikecualikan, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha lebih besar untuk memupuk daya tahan dan kestabilan dalam komuniti terpinggir.
Haji Bukhari Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf An-Nur, menyokong pandangan ini dengan menambah, “Di Waqaf An-Nur, kami percaya bahawa impak yang berpanjangan datang daripada menangani punca asas, termasuk akses kepada penjagaan kesihatan. Kerjasama kami dengan PruBSN menegaskan misi bersama kami untuk menyediakan penyelesaian jangka panjang yang berkesan untuk golongan terpinggir, memastikan bahawa kelestarian bukan sekadar konsep, tetapi realiti yang dialami oleh komuniti seperti kumpulan Asnaf. Ini selaras dengan prinsip-prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) kami dan mematuhi prinsip Maqasid Syariah yang menekankan perlindungan kehidupan, akal, dan harta.”
PruBSN dan Waqaf An-Nur berhasrat untuk memperluaskan lagi inisiatif ini bagi membantu segmen komuniti Asnaf yang lebih luas, memastikan lebih ramai individu dapat mengakses penjagaan kesihatan yang mereka perlukan. “Kami menjemput semua pihak berkepentingan dan anggota masyarakat untuk bersama-sama membuat perubahan yang berpanjangan melalui inisiatif Waqaf. Dengan sumbangan anda kepada An-Nur Care, kita boleh membantu lebih ramai individu dalam komuniti Asnaf mendapat perlindungan perubatan yang sangat diperlukan. Bersama-sama, kita dapat memberi impak yang signifikan dan meluaskan jangkauan kita untuk membawa harapan dan keselamatan kepada mereka yang memerlukan,” tambah Haji Bukhari.
Pelancaran An-Nur Care adalah selaras dengan usaha lebih luas PruBSN untuk menyokong agenda kelestarian negara, seperti Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat, yang telah memberikan perlindungan hayat kepada 300,000 orang dari segmen B40 pada tahun 2024. PruBSN tetap komited untuk memperluaskan tawaran takafulnya bagi memenuhi keperluan komuniti yang terpinggir, menangani kedua-dua keperluan kesihatan segera dan jangka panjang mereka melalui inisiatif yang disasarkan dan inklusif.
Melalui inisiatif seperti An-Nur Care, PruBSN dan Waqaf An-Nur memberi contoh yang baik bagi kerjasama antara ogranisasi-ogranisasi untuk menangani isu-isu sosial yang kritikal sambil berpegang kepada agenda kelestarian mereka.
Tentang Prudential BSN Takaful Berhad
Ditubuhkan pada tahun 2006 melalui lesen yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia, Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) adalah usahasama diantara Prudential plc dan Bank Simpanan Nasional, dua buah syarikat yang kukuh dalam bidang dan kepakaran masing-masing.
Berasaskan konsep taawun (Kerjasama dan tolong-menolong), PruBSN menyediakan rangkaian solusi perlindungan takaful keluarga patuh Syariah. Kini, PruBSN mempunyai lebih 16,000 agen takaful yang berkhidmat kepada lebih 2 juta rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka, dengan mendengar, memahami serta berbakti dalam memenuhi keperluan perlindungan dan kesihatan yang semakin berkembang.
Kontak Media:
Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN)
Inarah@prubsn.com.my
Tentang Waqaf An-Nur
Waqaf An-Nur Corporation Berhad (“Waqaf An-Nur”) merupakan sebuah syarikat berhad dengan jaminan tanpa syer yang ditubuhkan pada tahun 2000 untuk menguruskan aset dan saham yang diwakafkan oleh Johor Corporation (JCorp).
Waqaf An-Nur dilantik sebagai ‘Nazir Khas’ oleh Majlis Agama Islam Johor pada tahun 2005 untuk menerima, mengurus dan mentadbir wakaf. Sebagai cabang tanggungjawab sosial korporat JCorp, Waqaf An-Nur menguruskan aset dan dana wakaf selama lebih 20 tahun.
Dengan matlamat untuk memaksimumkan impak sosio-ekonomi melalui program amalnya, Waqaf An-Nur telah melaksanakan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan, tanpa mengira kaum dan agama.
Kontak Media:
Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur)
admin@waqafannur.com.my